KOTA BHARU - Pertanian di negeri Kelantan memerlukan satu penyelesaian yang holistik terutama dalam isu bekalan air.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata, langkah itu penting dalam usaha meningkatkan keterjaminan dan bekalan makanan dalam negara.
Katanya, kementerian itu juga kini dalam usaha membincangkan isu itu menerusi program Pengukuhan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (Pintar).
"Pertanian di Kelantan bergantung sepenuhnya dari Sungai Kelantan dan sungai itu memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat, namun pada musim kemarau paras air cetek serta menyukarkan usaha kerajaan negeri mahu pun Persekutuan.
"Menerusi Pintar, semua pihak termasuk kerajaan negeri dan Persekutuan akan dapat berbincang serta bekerjasama bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Lundang, di sini, pada Khamis.
Turut hadir, Pengerusi KADA, Muhammad Husin.
Badrul Hisham dalam pada itu berkata, pihak melakukan pelbagai inisiatif termasuk mengadakan fasiliti dan infrastruktur bagi memastikan sumber air dapat disalurkan ke saliran pertanian.
Katanya, kementerian turut melihatnya sebagai cabaran dalam langkah mencukupkan bekalan makanan di Malaysia dan semakin berat.
"Kami perlu memperkasakan kemampuan pengeluaran makanan dalam negara tetapi perlu selesaikan isu air dan masalah penggunaan tanah terlebih dahulu.
"Di Kelantan pula sebanyak 92 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar adalah berasaskan pertanian dan sektor paling besar negeri Kelantan ini patut diberi tumpuan untuk berkembang,” katanya.
Justeru, menurut beliau, melalui Pintar, akan dibincangkan langkah untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mencukupkan bekalan makanan di negeri Kelantan dahulu.
"Juga mencari cara untuk melipatgandakan sumber ekonomi lain selain padi untuk meningkatkan pendapatan petani.
"Di Kelantan tidak kurang 50,000 petani berdaftar yang memerlukan pembelaan dan bekalan makanan perlu dicukupkan kepada 1.8 juta rakyat Kelantan.
"Jadi apa-apa jua keperluan pertanian terutama air dan tanah mesti mendapat sokongan semua pihak,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!