SHAH ALAM - Isu kekejaman Israel yang telah melampaui batas kemanusiaan pada ketika ini lebih afdal jika dijadikan sebagai salah satu daripada perbincangan dalam kalangan pelajar.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keganasan rejim Israel termasuk melibatkan pembunuhan beramai-ramai iaitu genosida ke atas rakyat Palestin perlu diangkat sebagai salah satu topik perbincangan bersama pelajar.
"Sudah 36,000 rakyat Palestin dibunuh dan majoriti yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak.
"Angka ini akan terus meningkat apabila lebih banyak perkuburan besar ditemui selepas ini. Lebih menyedihkan, ada mayat dalam perkuburan ini ditemui dalam keadaan tangan yang terikat.
"Maka lebih afdal jika isu kekejaman Israel yang sudah melampaui batas kemanusiaan ini yang dijadikan perbincangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada 9 Februari, media melaporkan angka kematian warga Palestin akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 27,947 orang.
Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan di wilayah terkepung itu, seramai 67,459 warga Palestin cedera sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober lepas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!