PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) akan membuka gelanggang Sabtu ini.
Sebaik selesai proses penamaan calon, maka bermulalah kempen selama 14 hari sebelum hari mengundi pada 11 Mei nanti.
Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu pada malam Rabu lalu mengumumkan calon daripada DAP akan mewakili blok kerajaan manakala Perikatan Nasional (PN) menyusul berbuat demikian sehari kemudian.
Rekod PRK di kawasan lain sebelum ini menyaksikan persaingan sekurang-kurangnya tiga penjuru apabila calon Bebas turut bertanding, dan sama ada situasi serupa akan berlaku di KKB hanya akan diketahui esok.
Dari satu segi, pembabitan lebih ramai calon dapat menyuburkan amalan demokrasi di negara ini dan membuka ruang lebih luas kepada pengundi membuat pertimbangan memilih wakil rakyat baharu.
Pada masa sama, aktiviti kempen juga bakal menjadi tumpuan apabila ahli daripada semua parti termasuk dari negeri lain akan turun padang dan masuk kampung bagi bertemu pengundi.
Tidak terkecuali, pemimpin utama parti pasti menghangatkan suasana dengan membawa isu-isu nasional untuk mempengaruhi pengundi.
Di sebalik kerancakan meraih undi itu, terdapat kebimbangan ada pihak yang sengaja mengeluarkan kenyataan menyentuh isu sensitif berkait 3R (agama, kaum dan raja) atau serangan peribadi yang boleh menggugat keharmonian serta perpaduan.
Bukan sahaja melibatkan pemimpin dan ahli parti malah naratif tersebut sering dimainkan oleh penyokong atau cybertrooper menggunakan akaun palsu di media sosial.
Mereka menyebarkan dakwaan dan tohmahan kepada parti lawan sehingga mengundang komen negatif serta jelik daripada netizen.
Pemantauan meluas diikuti tindakan tegas pihak berkuasa mampu mengekang perbuatan tidak bertanggungjawab itu daripada terus menular sekali gus memastikan kempen berjalan lancar.
Meskipun isu nasional boleh memancing undi namun penduduk juga mahu calon bertanding mengetengahkan penyelesaian isu setempat, perancangan pembangunan dan agenda meningkatkan kualiti hidup mereka.
Selari dengan kemajuan negara apatah lagi semua parti telah pun berpengalaman menjadi kerajaan serta pembangkang sebelum ini, maka rakyat menuntut pemimpin serta ahli politik mengamalkan sikap matang dalam berpolitik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!