Pakai kereta mewah tapi culas bayar cukai jalan

Iklan
Anggota JPJ melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan mewah jenis BMW X6 yang tidak mempunyai insurans dan LKM tamat tempoh semasa Op HRA 2024 baru- baru ini.

CUKAI jalan tamat tempoh sejak tujuh tahun lalu. Itu kesalahan dikesan dilakukan pemilik sebuah kereta mewah jenis BMW X6 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menerusi Op Hari Raya Aidilfitri 2024 baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Sudahlah cukai jalan tamat tempoh, kenderaan berharga lebih RM200,000 sebuah tersebut juga tidak mempunyai perlindungan insurans.

Alasan si pemandu, dia hanya memandu kereta itu dalam jarak dekat, selain tidak pernah menukar nama selepas membeli kenderaan tersebut.

Iklan

Susulan itu, ramai yang mempersoalkan bagaimana pemandu terbabit boleh terlepas di jalan raya? Bukan setahun dua, tetapi tujuh tahun kenderaannya tiada cukai jalan!

Berdasarkan komen-komen netizen di media sosial, ada yang mendakwa pihak berkuasa seolah-olah pilih bulu kerana hanya memeriksa kenderaan orang kebanyakan. Dakwa mereka, jarang sekali kenderaan mewah ditahan dalam sekatan jalan raya.

Iklan

Namun, perkara itu dibidas netizen lain yang memaklumkan kereta mewah juga tidak terlepas daripada pemeriksaan pihak berkuasa dan situasi itu biasa dilihat di ibu kota.

Ini bukanlah kes pertama pihak berkuasa menyita kenderaan mewah kerana tiada insurans dan cukai jalan.

Pada Februari lepas, sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati 848 disita selepas pemeriksaan mendapati cukai jalan dan insurans kenderaan itu tidak diperbaharui sejak lapan tahun lalu.

Pernah suatu ketika dahulu sebuah kereta Ferrari disita kerana cukai jalannya sudah tamat tempoh selama 10 tahun.

Kesalahan itu dikesan ketika Op Khas Bersepadu Genting di Plaza Tol Gombak, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, yang memberi tumpuan terhadap kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi yang menjadikan lebuh raya berkenaan sebagai litar lumba pada hujung minggu.

Berdasarkan laporan media, alasan paling popular si pemilik kenderaan ialah lupa atau tidak perasan cukai jalan sudah tamat tempoh.

Jika seminggu dua lewat boleh lah diterima alasan sedemikian, namun jika bertahun-tahun itu memang disengajakan.

Kegagalan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans kenderaan memberi risiko kepada pemilik serta pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan.

Lebih malang jika ‘tertangkap’ boleh dikenakan tindakan saman atau kompaun oleh pihak berkuasa, termasuk didakwa di mahkamah.

Berdasarkan peruntukan undang-undang, pemilik kenderaan yang gagal memperbaharui cukai jalan boleh didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000.

Bagi kesalahan insurans tamat tempoh, ia di bawah Seksyen 90(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Jika melihat kepada jumlah denda yang dikenakan, tidak hairanlah mengapa ada pemilik kenderaan mewah ini culas untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans mereka.

Mungkin pada mereka amaun denda itu masih kecil dan mampu dibayar berbanding harga roadtax serta insurans kenderaan yang boleh mencecah ribuan ringgit.

Dalam pada itu, timbul cadangan supaya kerajaan menyemak semula tarif LKM kerana penilaian berdasarkan kuasa kuda (cc) kenderaan tidak lagi dianggap relevan.

Penganalisis pengangkutan, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar dilaporkan berkata, ketika ini sudah banyak kenderaan mewah yang membayar cukai jalan rendah kerana memiliki cc rendah.

"Banyak juga kenderaan lama yang terpaksa membayar cukai jalan yang mahal kerana mempunyai cc tinggi,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi di laman web JPJ, kadar LKM bagi kereta saloon berkapasiti enjin 1600cc dan ke bawah adalah antara RM20 hingga RM90 setahun.

Bagi kereta berkapasiti enjin melebihi 1600cc dan ke atas dikenakan kadar antara RM200 hingga lebih RM2,130.

Menyedari bebanan yang terpaksa ditanggung pemilik kenderaan, kini terdapat beberapa platform insurans digital yang menawarkan pembiayaan tanpa faedah dan pembayaran secara ansuran bulanan.

Justeru, tiada alasan lagi untuk mengelak daripada membayar cukai jalan dan insurans kenderaan disebabkan kekurangan bajet atau kekangan masa memandangkan segala urusan kini boleh dilakukan secara dalam talian.

* Siti Hazira Hamdan ialah Editor Pengisian Sinar Harian.