Freedom Flotilla to Gaza: Penangguhan pelayaran taktik Israel gagalkan misi - FFC

Iklan
Dr Fauziah Hasan. Gambar Astro Awani

ISTANBUL - Penangguhan misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk terjejas di Gaza merupakan satu taktik biasa yang dilakukan rejim Israel.

Menurut Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalitin (FFC), Dr Fauziah Hasan, tekanan demi tekanan akan terus diberikan bagi memastikan misi ini gagal sepenuhnya.

Iklan
Iklan

"Setiap kali memang (wujud) tekanan daripada Israel, pada peringkag awal nak memulakan sesuatu pelayaran, mereka memang akan beri tekanan agar misi ini gagal.

"Saya masih ingat semasa misi yang saya sertai dahulu, suami kepada kapten kapal kami yang menetap di Australia, dipujuk oleh pihak kedutaan Israel di negara itu untuk memujuk isterinya supaya tidak meneruskan pelayaran,” katanya yang ditemui dalam sesi taklimat kepada delegasi Malaysia di sini, pada lewat malam Khamis.

Iklan

Tambahnya, menerusi misi sama yang disertainya dahulu yang berlepas dari Barcelona, Sepanyol juga berdepan masalah dokumentasi yang remeh hasil daripada campur tangan rejim Zionis.

"Di sana, mereka telah meminta pihak penganjur menyediakan pelbagai dokumen yang asal yang sememangnya mustahil untuk diperoleh.

Iklan

"Bayangkan kalau nak memohon kurier hantarkan dokumen itu, dokumen itu pula dari Amerika Syarikat maka sukarlah mendapat dokumen yang original pada waktu itu,” katanya lagi.

Pada 2016, Dr Fauziah pernah menjadi perhatian rakyat Malaysia khasnya dan dunia umumnya apabila beliau bersama-sama sekumpulan 12 wanita dari pelbagai negara melakukan misi kemanusiaan Women’s Boat to Gaza (WBTG) dengan sebuah kapal yang dikendalikan kapten wanita, namun ditahan pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean sebelum sampai di Gaza.

Kejadian pada 5 Oktober 2016 itu menyebabkan mereka dipenjara satu malam oleh Israel kerana dituduh menceroboh masuk secara tidak sah sebelum dibebaskan dan dihantar pulang ke negara masing-masing.

Terdahulu, Astro Awani melaporkan misi pelayaran Break The Siege Freedom Flotilla to Gaza yang dijadualkan memulakan pelayaran pada hari ini, sekali lagi ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Menerusi kenyataan FFC, hal ini berlaku disebabkan timbul kekacauan daripada rejim Israel yang terus- menerus mahu menghalang pergerakan kapal-kapal terlibat dalam misi ini.

Kenyataan itu mendakwa pihak rejim sedang memberi tekanan hebat kepada Republik Guinea Bissau untuk menarik balik benderanya daripada kapal utama yang digunakan dalam misi ini, Akdeniz (Mediterranean). - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!