Sederhana cara makan Rasulullah SAW

Iklan
AMALAN menjamu makan merupakan amalan yang digalakkan Islam, namun ada adab-adab yang diajar Nabi Muhammad SAW untuk kita ikuti. Foto Canva

Ikuti adab makan Baginda, tidak membazir dan kurma sebagai diet harian

"SEDAP rendang ni, rugi tak makan. Nasi dagang ni pun tak kurang hebatnya. Teh ais ‘kaw’ ini pun lazat berkrim.”

Begitulah antara dialog yang sering diungkapkan apabila hadir ke rumah terbuka atau kenduri kesyukuran sempena raya yang sering diadakan umat Islam pada bulan Syawal ini.

Iklan
Iklan

Mengupas mengenai gaya pemakanan Rasulullah SAW, Sinar Islam Plus mendapatkan Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Ustaz Muhammad Hasbullah Md Najib.

Menurut beliau, ALLAH SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh ikutan yang baik dalam segala aspek kehidupan seperti direkodkan dalam ayat ke-21 Surah al-Ahzab.

Iklan

USTAZ MUHAMMAD HASBULLAH

"Rasulullah SAW adalah contoh teladan terbaik untuk kita contohi sebagai umat Islam termasuk juga dalam aspek pemakanan seharian,” jelasnya.

Iklan

Rasulullah SAW makan sekali sehari

Katanya, Ummul Mukminin Aisyah RA berkata: "Tidaklah kenyang keluarga Muhammad SAW daripada roti yang diperbuat daripada sya’ir melebihi dua hari secara berturut-turut sehingga Baginda wafat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Jelasnya lagi, Baginda hanya makan sekali sahaja setiap hari, sama ada waktu pagi atau petang seperti dibahaskan dalam kitab Jawab As-Sail an Syarah Asy-Syamail.

"Kita dapati Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat bersederhana dan tidak bermewah dalam makanan serta Baginda hanya makan apabila lapar, bahkan banyak riwayat yang menyebut Baginda sering berlapar.

"Inilah contoh teladan yang terbaik ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bersederhanalah dalam menjamu selera terutama di dalam musim perayaan ini bahkan ia juga memberikan manfaat dari sudut kesihatan,” jelasnya.

Adab-adab makan Rasulullah SAW

Antara adab-adab yang dilakukan dan dianjurkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana disebutkan Baginda dalam hadis-hadisnya:

1 - Memulakan makan dengan mengucap Basmalah (Bismillah).

2 - Makan dengan tangan kanan.

3 - Mengambil makanan yang paling hampir dahulu.

4 - Makan dalam keadaan duduk beradab menghadap makanan, namun tidak bersandar.

5 - Makan tidak terlalu kenyang.

Kurma diet harian Rasulullah SAW

Menurut Muhammad Hasbullah, antara makanan yang sering diamalkan oleh Rasulullah SAW mengikut Imam Tirmizi dalam kitabnya, Asy-Syamail Al-Muhammadiah ialah tamar atau rutab iaitu kurma.

"Bagi kita, tamar atau kurma ini hanya dimakan ketika berbuka atau bersahur pada bulan Ramadan sahaja sedangkan ia merupakan makanan harian Rasulullah SAW.

"Baginda memperbagaikan cara memakan tamar dengan pelbagai menu, antaranya dengan roti, mentega dan timun seperti mana yang diriwayatkan dalam hadis,” katanya.

KURMA mengandungi khasiat yang tinggi dan kajian mendapati ia mengandungi zat nutrien yang hampir sempurna dengan komposisi yang seimbang walaupun dalam jumlah sedikit. Foto Canva

Ujarnya, kurma mengandungi khasiat yang tinggi dan kajian mendapati ia mengandungi zat nutrien yang hampir sempurna dengan komposisi yang seimbang walaupun dalam jumlah sedikit.

"Sewajarnya kita menjadikan buah tamar atau kurma ini sebagai salah satu diet harian kita bukan sahaja hanya pada bulan Ramadan,” jelasnya.

Sederhana, tidak membazir

Nasihat beliau lagi, sempena dalam fasa rumah terbuka dan beraya ini, ayat ke-31 dalam Surah al-A’raf boleh dijadikan panduan:

"Dan makanlah serta minumlah. Dan jangan pula kamu melampau. Sesungguhnya ALLAH tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

"Jadi pelajaran yang boleh diambil ialah bersederhanalah dalam menjamu selera ketika menghadiri rumah terbuka,” hurainya.

BERSEDERHANALAH dalam menjamu selera, lebih-lebih lagi ketika bertandang ke rumah orang. Foto Canva

Janganlah kerana disebabkan keghairahan menjamu selera dalam keadaan tidak terkawal menyebabkan ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan pula pada kemudian hari, nasihatnya lagi.

"Satu lagi pesanan saya dalam bab pemakanan ini, janganlah membazir. Ambillah contoh teladan daripada Rasulullah SAW yang hanya makan sekadar keperluan sahaja supaya tidak berlaku pembaziran,” jelas beliau.

Ujarnya, belilah makanan sekadar keperluan sahaja dan tidak terlalu mengikut hawa nafsu ketika berbelanja.

"Melalui media sosial yang ada, kita semua kini dapat melihat bagaimana kesengsaraan yang dihadapi saudara kita di Gaza, Palestin akibat sekatan bekalan makanan dan bantuan kemanusiaan oleh rejim Zionis.

"Maka sewajarnya kita menggunakan nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita di negara ini sebaiknya dengan mengelakkan berlakunya pembaziran,” ujarnya.