NGO anjur persidangan fokus kesihatan wanita di Kota Bharu 11 Mei ini

Iklan
Persidangan Inspirasi Kesihatan dan Kesejahteraan Wanita 2024 di Kota Bharu pada 11 Mei ini. Gambar kecil: Rozaida

KOTA BHARU - Persidangan Inspirasi Kesihatan dan Kesejahteraan Wanita 2024 pada Mei ini mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita terhadap kepentingan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Setiausaha Persatuan Komuniti Farmasi Malaysia Kelantan, Rozaida Mohd Yunus berkata, ini kerana jumlah wanita yang mengambil peluang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dilihat masih rendah.

Iklan
Iklan

Justeru katanya, Persatuan Komuniti Farmasi Malaysia Kelantan mengambil inisiatif menganjurkan program tersebut yang bakal diadakan di Hotel Perdana Kota Bharu pada 11 Mei ini.

"Ia turut menampilkan enam individu termasuk Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Dr Zanariah Jaafar; selebriti Astro Oasis Ustazah Asni Mansor dan selebriti, Datuk Nora Ariffin untuk mengemudi program bual bicara agar tahap kesedaran wanita terhadap penjagaan kesihatan dapat ditingkatkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Iklan
Nora yang akan turut sama dalam Persidangan Inspirasi Kesihatan dan Kesejahteraan Wanita 2024.

Menurutnya, program yang diadakan buat julung kalinya sempena Hari Kesihatan Wanita Sedunia pada Mei dan sambutan Hari Ibu pada 12 Mei itu memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan input lebih tepat terhadap tahap kesihatan masing-masing.

Malah jelasnya, mereka juga berpeluang memastikan kesihatan mental masing-masing berada dalam keadaan baik bagi menghadapi tekanan kos sara hidup pada masa kini.

Iklan

"Program ini turut memberi peluang kepada wanita untuk berkongsi pandangan atau luahan emosi berkaitan mental bersama Pakar Perunding Psikiatri, Dr Asrenee Abd Razak,” katanya.

Dalam pada itu, Rozaida yang juga pengarah program berkenaan berkata, pihaknya turut menyediakan pemeriksaan pap smear untuk pengesanan kanser serviks dan temu janji mamogram bagi mengesan kanser payu dara secara percuma kepada peserta.

"‘Mereka tidak perlu membayar RM300 seperti ujian yang dilakukan di klinik-klinik swasta,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!