[VIDEO] Rumah terbuka Aidilfitri di KKB, boleh jadi satu kesalahan pilihan raya - Bersih

Iklan

SHAH ALAM - Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor yang akan diadakan di pekan Kuala Kubu Bharu (KKB) pada Sabtu ini boleh bercanggah dengan peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) kerana berlangsung semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK).

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam satu kenyataan berkata, aktiviti sambutan seperti jamuan makan dan pemberian duit raya dalam program itu juga merupakan satu kesalahan di bawah akta berkenaan.

Iklan
Iklan

"Pemberian atau penjamuan makanan semasa tempoh pilihan raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8 (Penjamuan) manakala pemberian duit raya di bawah Seksyen 10 (Penyogokan).

Iklan
Notis penutupan jalan bermula 22 April hingga 30 April bagi memberi laluan persiapan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Kerajaan Negeri Selangor yang akan berlangsung pada 27 April.

"Bersih turut mempersoalkan lokasi dan masa penganjuran rumah terbuka ini kerana majlis ini dianjurkan di kawasan dan ketika pilihan raya sedang berjalan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, Bersih menyelar tindakan pengumuman penyaluran peruntukan RM5.21 juta kepada penduduk di daerah Hulu Selangor menjelang kempen PRK KKB yang disifatkan melanggar garis panduan mengenai pilihan raya yang bersih.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan beberapa jalan di pekan Kuala Kubu Bharu ditutup secara berperingkat bermula 22 April hingga 30 April bagi memberi laluan persiapan majlis rumah terbuka.

Bersih turut mengingatkan pihak penganjur untuk memastikan majlis tersebut tidak digunakan sebagai platform memperkenalkan calon daripada komponen parti kerajaan, seterusnya berkempen dengan memasang bendera dan kaedah lain untuk memenangkan calon mereka.

"Penggunaan sumber kerajaan bukan sementara semasa tempoh pilihan raya kecil seperti di PRK KKB perlu mematuhi prinsip 3C yang digariskan oleh Bersih sebelum ini iaitu tanpa syarat, kempen dan tiada calon,” jelasnya.

Tegas Bersih, semua pihak yang akan bertanding dalam PRK KKB pada 11 Mei ini perlu mematuhi etika kempen supaya ia dapat berjalan dengan bersih dan adil.

Katanya lagi, mana-mana calon yang bercadang untuk menganjurkan majlis rumah terbuka peringkat parti diingatkan supaya tidak berbuat demikian kerana ia bercanggah dengan AKPR.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!