BALING - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun selamat walaupun kereta yang dinaiki terbabas sebelum terjatuh ke gaung di Gunung Inas di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat, berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa sekeluarga yang menaiki kereta Honda City dalam perjalanan dari Kampung Baru Kuak Luar di Pengkalan Hulu ke Baling.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu wanita berusia 34 tahun itu hilang kawalan ketika sedang menuruni bukit dan terjunam ke gaung di kanan jalan yang menyebabkan kereta itu rosak teruk," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Nur Raihan Rumli, suaminya Abdul Jalal Mat Zaini, 26 tahun, dan anak lelaki mereka Muhammad Adib Kamali Abdul Jalal tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Bagaimanapun, wanita itu dimasukkan ke zon merah Hospital Baling untuk pemerhatian kerana dia mengandung tujuh bulan," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud, berkata penyelamat telah menggunakan tali untuk turun ke gaung untuk mengeluarkan mangsa.
"Mangsa-mangsa itu telah diselamatkan dan kemudian diberi rawatan sebelum dibawa ke Hospital Baling," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!