IPOH - Ipoh White Coffee menduduki tempat ke-10 daripada senarai 39 kopi terbaik dunia yang disenaraikan oleh laman web TasteAtlas.
Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, kedudukan senarai jenis kopi itu dilakukan berdasarkan penilaian penonton TasteAtlas.
Katanya, ia menggunakan satu siri mekanisme yang mengiktiraf pengguna sebenar dan mengabaikan penilaian bot, nasionalis atau patriotik tempatan.
"Minuman tersebut telah menduduki tempat ke-10 dalam senarai 39 Kopi Terbaik Di Dunia yang diterbitkan 15 Mac lalu.
"Kopi yang mendapat tempat pertama dalam senarai berkenaan adalah Espresso Freddo dari Greece yang menggabungkan espresso dan ais sehingga kopi itu menjadi sedikit sejuk dan berkrim," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan April, di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh, di sini pada Khamis.
Tambahnya, antara kopi lain yang tersenarai dalam kedudukan 10 teratas adalah Espresso Freddo (Greece), Café Cubano (Cuba), Indian Filter Coffee (India), Freddo Cappuccino (Greece), Café Bombon (Spain).
Cappuccino (Italy), Turkish Coffee (Turki), Ristretto (Itali) dan Frappe Coffee (Greece).
Senarai 30 Kopi Terbaik di Dunia itu mencatatkan sejumlah 3,878 penilaian, tetapi hanya 2,559 sahaja yang diiktiraf oleh sistem sebagai sah.
"TasteAtlas turut menyatakan tujuan senarai ini adalah untuk mempromosi makanan tempatan yang berkualiti, menyemai sifat bangga terhadap hidangan tradisional dan menimbulkan rasa ingin tahu tentang hidangan yang anda belum cuba.
"Menerusi sumber dari Asian Inspiration, Ipoh White Coffee berasal dari Ipoh, Malaysia dan biji kopi berkenaan dipanggang dalam marjerin sebelum dikisar dan dibancuh untuk menghasilkan minuman kopi yang lebih lembut dan berkaramel," katanya lagi.
Rumaizi berkata, minuman itu biasanya akan diletakkan bersama susu pekat dan ditambah dengan buih ringan.
Bagaimanapun, menurut beliau, minuman itu tidak sama seperti white coffee lain iaitu merujuk kepada mana-mana kopi yang dihidangkan dengan tambahan susu atau krimer. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!