PRK Kuala Kubu Baharu buka tirai esok

Iklan
Gambar hiasan. Foto Bernama

HULU SELANGOR - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) akan membuka tirai esok dengan bermulanya proses penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini.

Bermula 9 pagi, bakal calon daripada parti yang bertanding termasuk calon Bebas boleh menyerahkan borang pencalonan masing-masing di Pusat Penamaan Calon (PPC).

Iklan
Iklan

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon yang layak bertanding bagi PRK berkenaan.

Iklan

Setakat ini, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao telah dinamakan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan manakala pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding esok hingga 11.59 malam, 10 Mei.

Iklan

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) cuaca diramal baik di sebelah pagi di Kuala Kubu Baharu esok, manakala ribut petir dan hujan di sebelah petang dan malam. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!