BESUT - Masalah kebakaran hutan yang sering berlaku ketika ini mendorong Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut mencipta jentera mini menggunakan barangan terpakai bagi memudahkan proses pemadaman.
Ketuanya, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, hasil inovasi dinamakan sebagai 'mini water trailer' itu menggunakan tangki air berkapasiti 1,000 liter dengan gabungan mesin pam berkapasiti tinggi bersama pam tekanan tinggi bagi menghasilkan pancutan air mengikut kesesuaian keadaan.
Menurutnya, rancangan untuk mencipta alatan itu telah dilakukan sejak awal memandangkan saban tahun anggota keselamatan itu berdepan bencana kebakaran hutan yang kerap berlaku terutama ketika musim panas.
"Jentera mini ini biasanya digunakan di peringkat awal kebakaran terbuka dengan seramai tiga hingga empat anggota akan menggerakkan alatan berkenaan ke lokasi kejadian.
"Operasi pemadaman pula dilakukan di lokasi-lokasi yang sukar diakses jentera Fire Rescue Tender (FRT) bomba, jadi dalam masa yang sama pasukan FRT sedia ada boleh bersedia di balai untuk menerima panggilan lain.
"Dengan adanya alatan ini, kerja-kerja pemadaman kebakaran dapat dilakukan secara lebih efektif sekali gus mengurangkan kemusnahan harta benda akibat bencana tersebut," ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Tambahnya lagi, ketika cuaca panas kebarangkalian kes kebakaran hutan dan belukar meningkat lebih lima kes sehari menyebabkan pihak bomba terpaksa mencari inisiatif bagi mengatasi masalah itu.
"Alatan ini dapat dijadikan sebagai jentera sokongan yang mana operasi pemadaman dapat dipecahkan kepada dua pasukan di lokasi berlainan dalam satu-satu masa terutama apabila pihak bomba menerima panggilan serentak ketika waktu puncak," katanya.
Selain itu, katanya, penggunaan alatan itu juga dapat membantu dari segi penjimatan penggunaan bahan api yang secara tidak langsung dapat membantu menjimatkan perbelanjaan.
"Ia ditarik menggunakan pacuan empat roda dan memerlukan kekuatan sekurang-kurangnya tiga orang anggota untuk digerakkan ke lokasi kebakaran hutan berskala kecil.
"Jadi penggunaannya sebagai alatan sokongan dapat membantu menjimatkan bahan api yang digunakan FRT," ujarnya.
Muhammad Azrul Izzham berkata, mereka mengambil masa kira-kira tiga minggu bagi melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta melalui proses mencipta alat berkenaan.
Jelasnya, barangan yang digunakan bagi inovasi itu diperoleh hasil sumbangan warga BBP Besut dan pihak lain seperti pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
"Sebenarnya idea menghasilkan alatan ini tercetus ketika anggota kita terlibat dalam program CSR (tanggungjawab sosial korporat) bagi membantu penduduk yang terjejas bekalan air di Bukit Keluang, Kota Putera, di sini pada Januari lalu.
"Daripada cetusan idea itu kita mula hantar kertas kerja pada 28 Januari lalu dan setelah mendapat kelulusan, kita mula bina dan siapkan jentera mini ini dalam tempoh tiga minggu,"ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!