JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, sedia bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), susulan rampasan 16,320 kilogram (kg) tin sardin dari China yang didapati mengandungi cacing parasit Anisakis sp. awal bulan ini.
Menurut Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo, pihaknya juga akan menunggu sekiranya ada keperluan untuk mereka terlibat sama dalam operasi bersepadu berhubung perkara tersebut kelak.
"Perkara ini dalam bidang kuasa Maqis dan KKM kerana ia berkaitan dengan keselamatan makanan, ia bukan bidang kuasa KPDN. Bagaimanapun, jika ada keperluan KPDN akan turut sama dalam Ops Bersepadu kerana tiada halangan untuk kita berikan kerjasama jika diperlukan.
"Cuma, kita kena tahu butiran seperti dari segi punca kuasa apa kita gunakan melainkan memang ada data atau statistik kata dah memang ada dalam pasaran.
ARTIKEL BERKAITAN:Cacing parasit dalam tin sardin dari China
"Bidang kuasa KPDN berkaitan harga, keberadaan dan sebagainya. Jika ada perincian atau jenama mungkin kita boleh buat sesuatu,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Khamis Sinar Harian melaporkan, Maqis Negeri Johor merampas 16,320 kilogram (kg) tin sardin dari China yang mengandungi cacing parasit Anisakis sp. yang cuba dibawa masuk ke negara ini.
Penemuan cacing parasit bermula selepas pihak Maqis menyita lori yang membawa muatan sardin dalam tin dianggarkan bernilai RM83,879.84 yang diimport dari Singapura melalui pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), dekat sini, pada awal bulan ini.
Lilis Saslinda berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu laporan khususnya sejauh mana tin sardin berkenaan sudah memasuki pasaran.
"Kita sebenarnya tak tahu mengenai butiran dan perincian mengenai sardin ini. Jika ada jenama mungkin kita dah boleh buat sesuatu.
"Sekarang ini sebab ia (tin sardin) ditahan di Maqis sebab tidak ada permit Maqis, jadi ia masih dalam bidang kuasa Maqis,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!