PUTRAJAYA - Nasib Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah yang ditahan polis dalam parti persendirian Ahad lalu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertentu Bersatu esok.
Perkara itu disahkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi.
Menurutnya, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tersebut dijangka membuat keputusan terhadap imej dan disiplin.
"Kita akan bincang esok," katanya.
Menurutnya, Bersatu mempunyai garis panduan etika dan disiplin parti.
"Walau apa pun kita mesti berlaku adil kerana seorang dianggap tidak bersalah sehingga dijatuhkan hukuman (oleh mahkamah)," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa sepenuhnya.
"Perkara biasa jika menjalani ujian saringan air kencing kali kedua dan saya serah kepada mereka untuk ambil tindakan," katanya.
Isnin lalu, Muhyiddin mengesahkan Adhif Syan yang juga merupakan Pengerusi Armada Selangor ditahan polis awal pagi Ahad lalu.
Turut ditahan beberapa 16 individu lain termasuk pegawai khas menteri ditahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, 16 daripada suspek ditahan positif methamphetamine.