SEPANG - Sejak awal lagi cendekiawan yang sederhana (mediocre) tidak seharusnya dibawa masuk sebagai profesor pelawat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas komen seorang ahli akademik Amerika, Bruce Gilley di platform sosial X, yang mendakwa dia meninggalkan Malaysia kerana bimbangkan keselamatannya disebabkan oleh gerakan 'gerombolan fasis-Islam yang dipacu oleh kerajaan'.
"Sejak mula lagi cendekiawan yang biasa-biasa sahaja (mediocre) tidak seharusnya dibawa masuk sebagai profesor pelawat.
"Selebihnya... Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) sudah pun menjelaskan segalanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Akademi MAB dan majlis pecah tanah Bangunan Simulator Penerbangan di sini hari ini.
Zambry sebelum ini dilaporkan berkata dakwaan Gilley bahawa Malaysia bukan negara selamat untuk dikunjungi sebagai kenyataan yang amat berbahaya sehingga boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada ramai pihak.
"Sekarang pun kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia tidak selesa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau, contohnya kedutaan Amerika mengesahkan Malaysia masih negara yang selamat untuk dilawati,” katanya.