KOTA BHARU - Dua penunggang maut selepas motosikal ditunggang bertembung dalam kemalangan di Kilometer 53 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Machang, pada Jumaat.
Kejadian jam 12.45 tengah malam itu mengorbankan lelaki berusia 20 tahun dan remaja berusia 15 tahun.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya dari Ibu Pejabat Polis Daerah Machang menerima makluman berhubung kemalangan itu.
Menurutnya, sejurus itu, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan.
"Hasil siasatan awal mendapati sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR ditunggang salah seorang mangsa dari arah Kota Bharu menuju ke Kuala Krai.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal itu hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan motosikal jenis Yamaha Y15 yang datang dari arah Kuala Krai,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, akibat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.
"Sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Khairulanwar Adamb di talian 011-10085165 atau bilik gerakan IPD Machang di talian 09-9751222,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!