INDEKS Harga Pengeluar Malaysia yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, meningkat 1.6 peratus pada Mac 2024 berbanding 0.3 peratus pada Februari 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, dalam laporan bulanan terbaharu IHPR Pengeluaran Tempatan, semua sektor mencatatkan peningkatan pada Mac 2024, menyumbang kepada peningkatan indeks keseluruhan.
Sektor perlombongan naik 8.3 peratus (Februari 2024: 5.3 peratus), disebabkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (11.0 peratus).
Pada masa yang sama, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 5.5 peratus (Februari 2024: 6.0 peratus), dengan indeks penanaman tanaman kekal dan pengeluaran ternakan masing-masing meningkat sebanyak 9.0 peratus dan 3.8 peratus.
Sektor pembuatan meningkat perlahan 0.6 peratus daripada negatif 0.7 peratus pada bulan sebelumnya disebabkan oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (6.8 peratus) serta pembuatan kimia dan produk kimia (1.4 peratus).
"Untuk sektor utiliti, indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 0.1 peratus dan 6.0 peratus," katanya dalam satu kenyataan.
"Pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.6 peratus berbanding 0.7 peratus pada Februari 2024 yang disumbangkan oleh kesemua sektor.
Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 4.3 peratus (Februari 2024: 2.6 peratus) disebabkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (7.4 peratus) dan pengeluaran ternakan (1.0 peratus).
Di samping itu, sektor perlombongan meningkat 2.3 peratus (Februari 2024: 5.7 peratus) dipengaruhi oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (2.3 peratus).
Mohd Uzir berkata IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan 0.4 peratus pada suku pertama 2024 selepas penurunan negatif 1.0 peratus pada suku keempat 2023.
Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 4.9 peratus, diikuti oleh perlombongan dan bekalan air, masing-masing meningkat sebanyak 4.0 peratus dan 3.4 peratus.
Bagaimanapun, sektor pembuatan dan bekalan elektrik dan gas kedua-duanya mencatatkan penurunan negatif 0.3 peratus dan negatif 0.2 peratus.
Sementara itu, perbandingan suku tahun ke suku tahun menunjukkan IHPR meningkat 0.6 peratus
berbanding negatif 0.3 peratus pada suku keempat 2023, kata Mohd Uzir.
Perbandingan dengan negara lain menunjukkan bahawa IHPR Amerika Syarikat meningkat 2.1 peratus pada bulan ini berbanding 1.6 peratus pada Februari 2024.
Selain itu, kadar inflasi tahunan United Kingdom meningkat 0.6 peratus, daripada peningkatan
0.4 peratus pada Februari 2024 disebabkan oleh pengeluaran petroleum bertapis dan pengeluaran lain.
IHPR Jepun meningkat 0.8 peratus berbanding kenaikan 0.7 peratus pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, harga pengeluar China terus menyusut 2.8 peratus berbanding penurunan 2.7 peratus
pada bulan sebelumnya.
"Ini menandakan penguncupan harga di pintu kilang ke-18 berturut-turut sejak November lepas, menunjukkan permintaan yang lemah secara berterusan, memperlihatkan ekonomi memerlukan rangsangan baharu disebabkan penurunan berterusan perlombongan dan kuari serta bahan mentah," katanya.
Mohd Uzir selanjutnya berkata, harga hartanah Malaysia dijangka meningkat dengan ketara pada separuh
pertama 2024 berikutan cabaran peningkatan kos bahan binaan, berdasarkan Tinjauan Pasaran 2024 oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).
Menurut Rehda, setakat Disember 2023, harga purata pasir dan konkrit di Malaysia telah
meningkat lebih 10 peratus tahun ke tahun.
Ini menandakan bahawa kos pembinaan dijangka meningkat secara purata sebanyak 15 peratus pada separuh pertama 2024. - Bernama