KOTA KINABALU - Timbalan Panglima Armada Timur Laksamana Pertama, Mohd Norizal Fahruddin bersama kira-kira 1,000 warga Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu pada Jumaat menyertai Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas buat anggota dan pegawai TLDM yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak.
Mereka memenuhi Masjid Ibnu Battuta di pangkalan itu seawal 12 tengah hari bagi mengerjakan ibadah antaranya membaca al-Quran dan solat sunat dhuha sebelum majlis bermula 12.40 tengah hari tadi.
Iklan
Iklan
Bacaan Yasin dan tahlil diketuai Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera, Mej Mad Zakuan Burhan bagi mendoakan mereka yang terkorban dalam nahas tersebut, sebelum solat Jumaat dimulakan dengan Khutbah Khas Hari TLDM ke-90 dibacakan Pegawai Memerintah KD Selangor Kept Ahmad Rashidi Othman TLDM yang juga Pegawai Kanan Armada Timur.
Teks khutbah khas bertajuk"TLDM Perkasa Kedaulatan Terpelihara” adalah daripada khutbah disampaikan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob pada majlis sama yang diadakan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak hari ini.
Pegawai Memerintah KD Selangor Kept Ahmad Rashidi Othman Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang juga Pegawai Kanan Armada Timur ketika menyampaikan khutbah khas solat Jumaat di Masjid Ibu Battuta TLDM Kota Kinabalu pada Jumaat. Foto Bernama
Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas itu diadakan sempena memperingati mangsa tragedi nahas Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec TLDM terhempas pada Selasa lepas yang mengorbankan 10 anggota dan pegawai TLDM.
Empat pegawai Skuadron 503 dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu termasuk Pegawai Memerintahnya Komander Muhammad Firdaus Ramli antara yang terkorban dalam nahas itu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Artikel Berkaitan