PARIS - Perancis sedang mempertimbang untuk melanjutkan sekatan ke atas peneroka haram Israel susulan peningkatan tindakan ganas mereka terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki sejak kebelakangan ini.
Pejabat Presiden Perancis, Emmanuel Macron memaklumkan, ia adalah antara intipati perbualan telefon pemimpin itu dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II.
"Kedua-dua pemimpin 'mengutuk dengan tegas pengumuman Israel baru-baru ini mahu memperluaskan penempatan' di Tebing Barat, yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa," kata pejabat Macron dalam satu kenyataan.
Ketegangan memuncak di wilayah yang diduduki sejak serangan Hamas 7 Oktober tahun lalu ke atas Israel, yang mencetuskan perang Gaza.
Sekurang-kurangnya 488 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera atau peneroka haram Israel di Tebing Barat sejak 7 Oktober lalu, menurut pegawai Palestin.
Pada Februari, 28 'peneroka haram Yahudi dilabel pelampau' dilarang memasuki wilayah Perancis.
Minggu lalu, Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan ke atas empat peneroka haram Israel dan dua pertubuhan peneroka kerana keganasan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Sejak awal tahun ini, pihak berkuasa Israel mengisytiharkan hampir 1,100 hektar Tebing Barat sebagai 'tanah negara' - dua kali ganda lebih banyak berbanding rekod sebelumnya pada 1999, menurut kumpulan pemerhati, Peace Now.
Status itu memberikan Israel kawalan penuh ke atas cara tanah itu digunakan, secara langsung diisytiharkan sebagai kawasan larangan kepada rakyat Palestin.
Kira-kira 490,000 peneroka haram Israel kini tinggal di Tebing Barat bersama tiga juta rakyat Palestin.
Macron dan Raja Abdullah dalam kenyataan bersama, turut bercakap mengenai 'bencana kemanusiaan di Gaza' dan menyatakan 'kebimbangan besar mengenai perspektif serangan Israel ke atas Rafah, di mana lebih 1.5 juta orang mencari perlindungan.
Mereka juga mengulangi bantahan terhadap operasi sedemikian dan menegaskan perlunya gencatan senjata segera yang mampu bertahan lama untuk membolehkan penghantaran besar-besaran bantuan segera dan perlindungan penduduk awam.
Macron juga mengulangi bahawa pembebasan tebusan yang diculik Hamas adalah keutamaan mutlak bagi Perancis. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!