IPOH - Tidak sukar untuk rakyat menilai dan mengenal pihak-pihak yang menyokong perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, perkara itu ditunjukkan tanpa usaha berselindung menerusi beberapa kenyataan dan tindakan termasuklah daripada pemimpin sendiri hingga menimbulkan kegusaran kaum.
"Jika dia penyokong komunis, maka dia akan katakan yang baik-baik tentang komunis, mengatakan mereka itu pejuang dan menyokong cubaan untuk ubah sejarah.
"Sekarang pun kita boleh nampak dah siapa mereka itu dan sebenarnya kita terpaksa terima hakikat mereka-mereka ini kini dalam kuasa kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Siri Bicara Bersama Tokoh: Ancaman Komunis Era Baru anjuran Gagasan Melayu Perak dengan kerjasama UMNO Cawangan Sungai Senam malam tadi.
Musa berkata, pimpinan pentadbiran yang ada kini tidak menunjukkan ketegasan dalam usaha menyekat perpecahan kaum daripada berlaku.
Katanya, keadaan itu menjadikan banyak pihak bertindak tanpa kawalan menghina antara satu sama lain tentang kaum, bangsa dan agama.
"Jika orang politik sendiri tidak mahu berusaha dan asyik bertengkar atas hak-hak sendiri, macam mana kita nak capai keamanan.
"Rakyat akan ikut apa menteri cakap, tetapi menteri yang ada ini juga yang merosakkan, sebagai ahli politik mereka kena satukan rakyat bukannya bertindak memecah-belahkan," katanya.
Bicara Bersama Tokoh yang berlangsung hampir tiga jam itu turut menampilkan Presiden Gagasan Melayu Perak, Datuk Mohd Razali Khalid dan Ketua UMNO Cawangan Sungai Senam, Norali Nordin.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Ancaman komunis serius, bukan main-main'
Kerajaan tidak pernah benar abu mayat dibawa pulang