Perak, Korea Selatan bakal bekerjasama hasilkan produk hiliran REE

Iklan
Saarani

IPOH - Kerajaan negeri Perak dijangka menjalin kerjasama dengan syarikat terkemuka Korea Selatan, Star Group Industries (SGI) yang berpengalaman dalam penghasilan produk hiliran unsur nadir bumi (REE).

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, syarikat itu akan berkunjung ke Perak pada bulan depan dan butiran lanjut kerjasama itu akan dibincangkan dalam pertemuan kedua-dua pihak terbabit.

Iklan
Iklan

"SGI yang diketuai oleh Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kong Kun Seong, menunjukkan minat untuk bekerjasama, malah menyatakan hasrat berkunjung ke Perak pada bulan depan untuk perbincangan lanjut.

"Ini satu perkembangan positif dan susulan daripada lawatan kerja kerajaan negeri ke sana...kita turut dibawa melawat kilang SGI di Daegu yang menghasilkan produk hiliran REE,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Iklan

Beliau turut menyifatkan kerjasama itu berpotensi bagi melengkapkan rantaian bekalan industri automotif, khususnya dalam melaksanakan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City Tanjung Malim tanpa perlu bergantung kepada bahan mentah import.

"Antara komponen terpenting industri automotif adalah magnet kekal yang menghasilkan motor aruhan magnet, magnet penghidup penjana hibrid, brek elektrik bersepadu, stering berkuasa elektrik serta pelbagai komponen berteknologi tinggi lain,” katanya.

Iklan

Beliau berkata kerjasama kedua-dua pihak dapat memberi manfaat besar kepada Perak, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan.

"Bayangkan, berapa banyak peluang pekerjaan dapat kita cipta melalui industri baharu ini. Sudah pasti ini memberi limpahan manfaat untuk rakyat Perak, khususnya anak-anak muda,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!