BAGAN DATUK - Jelajah Antirasuah MARA X Rasuah Busters disifatkan sebagai suatu pendedahan peringkat permulaan untuk generasi muda khususnya pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, pendekatan pihaknya dalam memperkasakan pemahaman antirasuah mengikut kaedah pembelajaran sesuai dapat mendekatkan pelajar dengan nilai kesedaran dan moral integriti tinggi.
"Antara impak kejayaan yang saya lihat adalah bagaimana pelajar boleh memahami dengan baik di peringkat asas rasuah dan kesannya serta mengelakkan rasuah.
"Ia kerana kita laksanakan program secara interaktif dan juga gamifikasi yang melibatkan pelajar supaya mereka berfikir secara kritikal dengan memberikan dilema senario dan situasi bersesuaian dengan usia mereka.
"Mereka juga berjaya menghasilkan penyelesaian bagaimana mengelakkan daripada terjebak rasuah dan jalan terbaik," katanya kepada Sinar Harian selepas Program Jelajah Antirasuah MARA X Rasuah Busters di MRSM Bagan Datuk, Perak pada Khamis.
Terdahulu, Nurhayati dan sekretariat Rasuah Busters mengadakan kunjungan hormat terhadap pengurusan MRSM Kuala Kubu Bharu dan MRSM Sungai Besar.
Siri jelajah ketiga di MRSM Bagan Datuk berjaya menghimpunkan 652 pelajar terdiri daripada tingkatan satu hingga lima menyertai kempen berkenaan.
Ujar Nurhayati, pelajar peringkat sekolah menengah mempunyai potensi besar dalam membuktikan bahawa usaha melahirkan generasi bebas rasuah dapat dilakukan di peringkat awal.
"Guru, pengetua dan pihak pentadbir memberi komitmen luar biasa 100 peratus untuk sama-sama membawa perubahan dengan menerapkan nilai integriti pada tahap optimum di sekolah masing-masing.
"Kami percaya ini adalah pendekatan cukup optimis dilaksanakan peringkat Majlis Amanah Rakyat (Mara) bukan saja di peringkat pelajar dan pentadbiran, malah guru juga perlu diberi pendedahan sama supaya perubahan dapat dilakukan bersama-sama," ujarnya.
Dalam pada itu, Pengetua MRSM Bagan Datuk, Nordin Ahmad berkata, usaha memperkasakan pemahaman anti rasuah boleh ditambah baik menerusi pendekatan digitalisasi atau pendidikan digital kepada pelajar.
Menurutnya, insiatif berkenaan bukan sahaja menarik minat generasi muda supaya memahami asas kempen anti rasuah, malah meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar.
"Sekarang, dunia yang kita lihat mudah untuk akses maklumat, apa sahaja maklumat yang kita ada. Jadi dalam konteks digital sekarang ini, kita boleh buat menggunakan telefon pintar sebagai alat membangunkan aplikasi, permainan atau apa sahaja platform berkaitan untuk mengajak pelajar memahami konteks anti rasuah dengan lebih menyeluruh.
"Saya rasa boleh dikatakan rakan paling rapat dengan golongan pelajar adalah telefon tetapi kalau kita boleh masukkan maklumat mengenai pendidikan anti rasuah dalam medium seperti ini, ia boleh menambahkan lagi keberkesanan usaha dilakukan," katanya.
Nordin berkata, program seperti Jelajah Antirasuah MARA X Rasuah Busters perlu diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang.
"Usaha ini mendidik kita menjadi lebih baik dalam apa jua perkara dan satu pekerjaan sangat mulia.
"Pada saya, usaha ini lebih kepada mendidik dan menjadi manusia yang boleh memikul tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ALLAH.
"Saya mendoakan usaha Rasuah Busters mampu terus membangunkan generasi pada masa akan datang, insyaALLAH," ulasnya.
REAKSI
"Bagi saya, program Jelajah Antirasuah MARA X Rasuah Busters ini sangat baik dan berharap kempen ini dapat diperluaskan ke semua peringkat sekolah kerana ia memberi impak positif untuk saya terutama kesedaran bahaya rasuah." - Pelajar Tingkatan Lima, Dhia Athirah Nur Zaide, 17.
"Program ini mungkin boleh fokus kepada remaja khususnya dari institut pengajian tinggi (IPT) kerana mereka memainkan peranan lebih besar dalam memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya rasuah." Pelajar Tingkatan Lima, Aqeef Darwisy Khairul Rizan, 17.
"Cadangan saya supaya program seperti ini lebih kepada aktiviti fizikal contohnya membuat lakonan di pentas supaya dapat berinteraksi dengan pelajar lain. Harapan saya juga supaya program ini tidak berhenti setakat ini sahaja, sebaliknya diteruskan ke semua sekolah." Pelajar Tingkatan Lima, Ahmad Hadif Aqil Marhalim, 17.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!