Man Kubur teruskan legasi ayah

Iklan
Aiman Hakim (kanan) bersama Irwan Shah melakukan kerja-kerja memasang batu nisan pada kepok yang disiapkan mereka. Foto Bernama

SUNGAI BULOH - Ketika rakan sebaya memilih melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau bekerja di pejabat dengan penyaman udara, pemuda berusia 20 tahun ini lebih selesa meneruskan legasi bapanya dalam pembuatan kepok kubur.

Aiman Hakim Baharudin yang mesra disapa Dikman mengakui minat terhadap pembuatan kepok kubur itu timbul sejak di bangku sekolah rendah lagi apabila sering melihat dan membantu bapanya di bengkel keluarga mereka di Paya Jaras di sini.

Iklan
Iklan

"Pada mulanya saya hanya suka-suka untuk bantu ayah kerana kasihan melihat dia bersusah payah mengangkat kepok (kubur) yang berat, tetapi lama-kelamaan timbul minat.

"Sejak Tahun Lima saya sudah mula belajar membuat kepok dan tamat sahaja persekolahan terus sepenuh masa membantu ayah, kini banyak urusan pembuatan kepok ini saya buat sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Iklan
Batu nisan yang ditempah untuk dipasang pada kepok. Foto Bernama

Digelar Man Kubur oleh rakan-rakannya, Aiman Hakim tidak pernah menyesal dengan kerjaya pilihannya, malah bersyukur dapat meneruskan legasi bapa dan membantu meringankan beban keluarga mencari rezeki.

"Mula-mula memang sedikit segan, lebih-lebih lagi apabila ada rakan-rakan yang memanggil saya dengan pelbagai gelaran tetapi saya tidak pernah ambil pusing. Saya seronok dengan kerja ini, janji dapat rezeki yang halal dan sekurang-kurangnya ia membuatkan saya insaf serta sentiasa ingat akan mati.

Iklan

"Ada juga pelanggan yang datang menempah kepok terkejut apabila mengetahui umur saya dan bertanya kenapa tidak sambung belajar atau mencari pekerjaan lain.

"Bagi saya, perniagaan ini bawa pulangan yang berbaloi walaupun memerlukan saya kerap berada di kubur,” kongsinya yang dapat menghasilkan lima kepok kubur sehari dan turut membantu abangnya memasang kepok di tanah perkuburan di seluruh semenanjung.

Baharudin menunjukkan kepok kubur yang disiapkannya bersama anak-anak di bengkel keluarga di Paya Jaras, baru-baru ini. Foto Bernama

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, walaupun pernah menempuh pengalaman seram ketika menyelesaikan tanggungjawab yang diamanahkan, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menawarkan khidmat terbaik.

"Antara pengalaman seram yang pernah saya lalui mendapat panggilan tempahan kepok kubur daripada si mati. Bunyinya seperti tidak logik tetapi kejadian itu cukup meremangkan saya,” ceritanya.

Aiman Hakim turut menasihati remaja hari ini agar tidak terlampau memilih kerja sebaliknya menyambut peluang yang datang selain sentiasa percaya pada rezeki.

Tak pernah paksa

Sementara itu, abang kepada Aiman Hakim, Irwan Shah, 33, berkata, melihat kesungguhan bapanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan (sebelah mata), yang bekerja sambil membantu golongan memerlukan menyuntik minatnya untuk berkecimpung dalam bidang tersebut.

"Selepas beberapa tahun makan gaji, pada 2019 saya memilih untuk membantu perniagaan ayah. Saya sudah biasa membuat kerja berat, apabila terjun ke bidang ini ia tidaklah membebankan sebaliknya gembira dengan pilihan ini.

"Niat saya nak menegakkan fardu kifayah, perniagaan ayah ini banyak kepada (konsep) beramal dan memudahkan golongan memerlukan,” katanya yang bercita-cita mahu membuka pusat pengurusan jenazah secara percuma diusahakan oleh anak-anak muda.

Bagi bapa mereka, Baharudin Hassan, 56, dia memberi kebebasan dan tidak pernah memaksa anak-anak mengikut jejaknya malah sentiasa menyokong minat mereka.

Dia percaya semangat yang kuat serta niat yang betul adalah sumber utama untuk berjaya dalam bidang itu seterusnya memberi inspirasi kepada kesemua anaknya bagi bersama-sama menjayakan perniagaan tersebut.

Baharudin menyusun batu nisan untuk dipasang pada kepok yang ditempah waris keluarga. Foto Bernama

"Selain Aiman Hakim dan Irwan Shah, dua lagi anak saya turut bersama-sama membantu dalam perniagaan ini.

"Saya bersyukur, usaha yang saya lakukan selama ini membuahkan hasil dan menjadi pemangkin buat kebahagiaan dalam keluarga kami,” ujarnya yang pernah bekerja sebagai pengutip sampah sebelum berkecimpung dalam bidang pembuatan kepok kubur.

Usahawan yang keluar daripada kelompok asnaf pada 2018 itu berkata, perniagaan yang diusahakan tersebut berkonsepkan bekerja sambil beramal dengan cara memberi tajaan dan diskaun kepada golongan berjasa serta memerlukan.

"Saya selalunya membantu (memberi tajaan kepada) asnaf, OKU ataupun orang yang pernah menaikkan nama negara (pihak yang berjasa termasuk artis),” tambahnya yang turut berharap semakin banyak pengurusan masjid dapat bekerjasama dengan pihaknya agar lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat dibantu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!