Cuba menyorok, pura-pura pengsan selepas jatuh dari siling

Iklan
Seorang lelaki warga Bangladesh cedera selepas terjatuh dari siling ketika cuba bersembunyi daripada ditahan JIM di Jalan Abraham, Kuala Lumpur pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Malang berganda buat seorang lelaki warga Bangladesh selepas ditahan pihak berkuasa gara-gara terjatuh dari siling bilik sewanya ketika cuba bersembunyi di Flat Jalan Abraham di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, pemeriksaan Op Belanja dan Op Pintu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur mendapati lelaki berusia lingkungan 40-an itu tidak mempunyai dokumen sah.

Iklan
Iklan

Malah selepas terjatuh, lelaki itu cuba berpura pengsan. Ketika ditanya tindakan cuba bersembunyi di atas siling, lelaki itu hanya tunduk faham akan kesalahannya.

Bagaimanapun pendatang asing tanpa izin (PATI) itu tidak mengalami kecederaan serius.

Keadaan penempatan warga asing di sebuah flat di Jalan Abraham, Kuala Lumpur yang kotor dengan longgokan sampah.

Iklan

Sinar Harian yang menyertai operasi bermula jam 6 petang itu mendapati, kawasan terbabit menjadi tumpuan warga asing sebagai tempat tinggal dan berniaga termasuk di kaki lima bangunan.

Bagaimanapun ketika disoal, tiada warga asing yang mengaku sebagai pemilik perniagaan, malah kesemua mereka mendakwa hanya bekerja ‘makan gaji’ dengan majikan warga tempatan.

Iklan

"Bukan, saya bukan tauke. Saya bekerja sahaja dapat gaji dalam RM2,500 sebulan.

"Di sini jual sayur-sayuran kami dapat ambil stok dari Pasar Borong Selayang. Ramai pelanggan daripada kawan-kawan (warga asing),” kata salah seorang PATI di lokasi serbuan pada Jumaat.

Tinjauan di lokasi flat yang menjadi penempatan warga asing terbabit mendapati tempat tinggal itu berada dalam keadaan kotor dan dibanjiri sampah selain ditemui bangkai tikus.

Satu unit rumah juga ditambah dengan beberapa bilik tambahan yang kemudian disewa dikatakan sekitar RM500 sebulan.

Wan Mohammed Saupee

Sementara itu, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi hasil risikan dua bulan itu bertindak memeriksa 102 warga asing dan tiga tempatan.

"Kita telah menahan 63 PATI lelaki terdiri daripada 51 warga Bangladesh, Myanmar (9) dan tiga Indonesia.

"Rata-rata PATI ini ditahan atas kesalahan salah guna pas," katanya.

Antara warga asing yang diperiksa di premis perniagaan sekitar Jalan Abraham, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Jelasnya, tumpuan operasi lebih kepada peniaga di tepi jalan dan warga asing yang bekerja secara tak sah di premis perniagaan.

"Sepanjang operasi ini, warga asing di sini (Jalan Abraham) kebanyakannya mempunyai permit kerja pembinaan, namun ada antara mereka tiada bekerja, mungkin kontrak kerja tamat atau telah ditinggalkan majikan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!