1MDB: Prosiding Najib julung kali dibuat pada Sabtu

Iklan
Najib dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding kes berkaitan dana 1MDB. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Julung-julung kalinya, prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini pada Sabtu.

Perbicaraan pertama dibuat pada hujung minggu ini berlangsung tepat jam 8.30 pagi, selepas bekas Perdana Menteri itu dibawa pihak berkuasa dengan menaiki kenderaan dari Jabatan Penjara.

Iklan
Iklan

Perbicaraan kes yang bermula pada Ogos 2019 di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) bermula dengan peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Najib, 71, menyoal balas saksi pendakwaan ke-49, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin.

Dalam prosiding lalu, selepas saksi ke-50 pendakwaan, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo diperiksa balas oleh pendakwaan, Sequerah menetapkan beberapa tarikh sambung bicara termasuk pada hari Sabtu.

Iklan

Tarikh berkenaan adalah pada 27 April, 4 dan 25 Mei serta 1, 8 dan 15 Jun, yang mana semuanya berlangsung pada Sabtu.

Setakat ini, seramai 50 saksi telah dipanggil memberi keterangan sejak prosiding ini bermula dan kini berlanjutan lebih 200 hari.

Iklan

Antara saksi tersebut ialah bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi

Najib, 71, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!