KUALA KRAI - [DIKEMAS KINI] Mangsa kemalangan membabitkan dua pacuan empat roda di Jalan Kuala Krai Gua Musang kira-kira jam 12.30 pagi Sabtu meninggalkan isteri yang sedang berpantang selepas melahirkan anak keempat mereka.
Juhazrie Junoh, 37, yang bekerja sebagai petani dikatakan dalam perjalanan dari Perak untuk membeli peralatan pertanian bersama tiga rakannya yang lain.
Bagaimanapun, sebaik tiba di satu lokasi di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi pacuan empat roda Ford Ranger.
Kakak kedua Juhazrie, Juhasni Naini Junoh, 48, ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra dekat sini tidak dapat menahan sebak mengenangkan arwah adiknya 'pergi' meninggalkan isteri yang sedang berpantang di rumah ibu mereka.
Menurutnya, mereka sekeluarga sudah memaklumkan berita duka itu kepada adik iparnya, Haryatul Laili Omar, 35, dan dia tabah menerimanya.
Menurut Juhasni Naini, arwah yang juga anak bongsu daripada 11 beradik merupakan anak harapan keluarga kerana dia banyak menggalas tugas menjaga ibu mereka Asiah Ibrahim, 76, yang sudah uzur selepas kematian bapa beberapa tahun lalu.
Katanya, kali terakhir bertemu Juhazrie yang dipanggil 'adik' pada Khamis dan ketika itu adiknya sedang menikmati hidangan makan malam sebelum bertolak ke Perak.
"Ketika itu saya pergi menjemput ibu untuk tinggal beberapa hari di rumah saya. Adik tidak banyak bercakap kerana dia mahu terus ke Perak selepas itu," katanya lagi.
Sementara itu, kakak sulung mangsa, Juhaslina Junoh, 54, mengakui pemergian adiknya masih seperti mimpi kerana dia seorang yang sangat baik dalam keluarga.
Tambahnya, arwah seorang yang kelakar dan suka bergurau, namun sangat tegas dengan semua anak-anak saudaranya dalam situasi tertentu.
"Arwah seorang petani yang sangat berjaya dan mengambil berat mengenai keluarga.
"Saya dimaklumkan dia sempat singgah di Cameron Highlands untuk membeli jagung dan strawberi sebagai buah tangan kepada keluarga seperti kebiasaan yang dilakukan sebelum ini," katanya.
Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, seramai empat mangsa maut dipercayai tersepit dalam dua pacuan empat roda terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat melalui kenyataan berkata, polis menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira jam 12.50 pagi.
Menurut beliau, kemalangan maut di Kilometer 78, Jalan Kota Bharu-Gua Musang (Bukit Ah Kim) melibatkan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dan Ford Ranger.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun bersama tiga orang penumpang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menghala ke Machang.
"Apabila tiba di tempat kejadian, Toyota Hilux hilang kawalan lalu terlanggar Ford Ranger yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang berada di laluan bertentangan.
"Akibat pelanggaran tersebut, pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang penumpang Ford Ranger turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Bagaimanapun tambah beliau, kira-kira jam 1.50 pagi seorang lagi penumpang Ford Ranger yang berada di zon merah Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!