PRK bukan medan beli undi

Iklan
Perbuatan membeli undi khususnya menerusi pemberian rasuah wang ringgit akan mendatangkan malapetaka jika ia dibiarkan berterusan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohammad Fazril)

SHAH ALAM - Parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) dinasihatkan berpegang kepada prinsip pilihan raya yang bersih dan adil dengan tidak membeli undi pengundi khasnya menerusi rasuah wang ringgit.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohammad Fazril Mohd Saleh berkata, sudah sampai masanya pilihan raya di negara ini dijalankan secara tertib iaitu bebas daripada perlakuan yang boleh menjerumuskan kepada rasuah.

Iklan
Iklan

Jelasnya, perbuatan membeli undi khususnya menerusi pemberian rasuah wang ringgit akan mendatangkan malapetaka jika ia dibiarkan berterusan.

"Pada masa yang sama, kegusaran kita adalah medan membeli undi ini bertukar kepada transaksi membeli undi dengan maklumat palsu, tuduhan salah, fitnah dan pentafsiran di luar konteks," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, berbekalkan semangat demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini, semua parti yang bertanding juga haruslah mengambil semangat menghormati kuasa rakyat sebagai penentu kepada pemilihan pemimpin.

"Jadi reformasi institusi menjadi sebahagian perjuangan yang diperjuangkan sekian lama, termasuklah reformasi nilai dan akhlak dalam perjalanan pilihan raya, jadi pilihan rakyat harus dihormati pada hari penentuan nanti kelak," katanya lagi.

Iklan

Dalam pada itu, Mohammad Fazril turut meminta pengundi pada PRK kali ini supaya bijak membuat pilihan bagi memastikan keterjaminan masa hadapan mereka yang lebih baik.

"Generasi muda khasnya perlu bijak dalam membuat pilihan, jangan termakan dengan permainan 'kad perkauman'," katanya lagi.

PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Bebas, diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!