SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Mayat seorang lelaki bertatu tanpa identiti dalam keadaan yang sudah reput ditemui di Sungai Linggi di Jalan Paroi-Senawang berhampiran sebuah stesen minyak di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mayat itu ditemui kira-kira jam 2 petang oleh seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang sedang menjala ikan di sungai berkenaan.
"Lelaki itu telah menghubungi polis apabila melihat satu mayat terapung dengan seekor bawak di situ.
"Polis telah ke lokasi dan pemeriksaan lanjut mendapati mayat itu telah mula reput dan berbau busuk dengan kedua-dua belah tangannya mempunyai tatu," katanya ditemui pemberita di lokasi pada Sabtu.
Menurutnya, mayat terbabit tidak berbaju dan hanya berseluar jeans, malah tidak ditemukan sebarang dokumen pengenalan diri berhampirannya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mayat lelaki berkenaan kemungkinan sudah meninggal dunia empat hari.
"Kita tak pasti bagaimana mayat itu ada di situ, kemungkinan ia hanyut atau sebaliknya dan siasatan lanjut akan dilakukan.
"Kita akan melakukan post mortem bagi mengenal pasti identiti mayat itu dan punca kematiannya serta sekiranya ada kecederaan lain ditemui," katanya.
Tambahnya, mayat itu telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga agar segera menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!