Denmark tidak pandang mudah cabaran Malaysia di Chengdu 2024

Iklan
Anders Antonsen

PEMAIN perseorangan kedua Denmark, Anders Antonsen berharap rakan sepasukannya tidak memandang rendah 'ancaman' Malaysia menjelang pertemuan terakhir Kumpulan D pada saingan Piala Thomas 2024 di sini, Selasa ini.

Walaupun Malaysia membariskan skuad perseorangan kurang 'menyengat', penyandang juara Terbuka Malaysia 2024 itu masih menjangkakan saingan sengit pada kejohanan kali ini di Pusat Sukan Zon High-Tech Chengdu di sini.

Iklan
Iklan

"Saya tidak sabar untuk perlawanan sukar menentang Malaysia dan pasti ia akan menyeronokkan dan kami akan melakukan yang terbaik," katanya pada sidang media selepas jaguh Eropah 2024 itu dengan mudah membenam Algeria 5-0 pada perlawanan pertama mereka pada Sabtu.

Antonsen hanya mengambil masa 26 minit untuk menyumbang mata kedua Denmark apabila dengan mudah mengatasi Youcef Sabri Medel 21-13, 21-12.

Iklan

Walaupun menang selesa ke atas Sabri, Antonsen, yang kini pemain keempat terbaik dunia, menyuarakan rasa tidak puas hati dengan prestasinya.

"Sejujurnya, perlawanan hari ini bukanlah aksi terhebat saya dan pastinya perlu bangkit dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Iklan

Terdahulu, Malaysia turut melakarkan kemenangan 5-0 ke atas Hong Kong pada perlawanan pembukaan.

Esok, Denmark akan menentang Hong Kong pada jam 1 tengah hari manakala Malaysia berdepan Algeria pada jam 6 petang.

Dua pasukan tertas kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir bermula 2 Mei ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!