SHAH ALAM - Maktab Ketahanan Nasional (NRC) mengadakan lawatan sulung ke Singapura sebagai salah satu usaha memahami dan memperkukuh hubungan pertahanan serta diplomasi antara Malaysia dengan Singapura.
Komandannya, Mejar Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng berkata, pelbagai sesi perkongsian disediakan bagi membincangkan, berkongsi dan mencari kaedah baharu untuk memupuk kerjasama dalam hubungan diplomatik serta keselamatan.
"Ia dimulakan dengan sesi dialog bersama Ketua Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) iaitu Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya Aaron Beng bagi membahaskan mengenai komitmen untuk menambah baik sistem pertahanan antara dua negara.
Lawatan itu berlangsung selama dua hari bermula 23 dan 24 April dan dimulakan dengan kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar serta Kementerian Ehwal Luar Singapura.
Dalam pada itu, NRC turut hadir ke Kolej Perkhidmatan Awam bagi membincangkan mengenai tadbir urus baik dan strategi Keseluruhan Kerajaan (WoG) oleh Penolong Ketua Eksekutif (Antarabangsa), Roger Tan Tian Hong.
"Sesi itu menerangkan falsafah tadbir urus, menekankan kepentingan kepimpinan dengan prinsip komited dalam membuat keputusan betul dan mengekalkan pendekatan pragmatik.
"Perkongsian ini memberikan banyak manfaat apabila ia menitikberatkan dedikasi terhadap tadbir urus baik yang dilihat mampu menyokong misi NRC untuk memupuk kepimpinan berkesan dan cemerlang," jelasnya.
Tambah kenyataan itu, lawatan terakhir NRC adalah ke Institut Yusof Ishak (ISEAS) yang dihoskan Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Choi Shing Kwok.
Katanya, turut berlangsung sesi perkongsian oleh Penyelidik Dr Francis Hutchinson, Joanne Lin, Dr William Choong dan Dr Ian Storey berhubung kebimbangan geopolitik serta keselamatan bersama negara jiran yang saling berkaitan.
"Sesi ini memainkan peranan penting dalam memberi penerangan tentang kerumitan dan dinamik yang menerangkan lebih mendalam mengenai hubungan baik dua hala antara Singapura dan Malaysia serta meningkatkan kefahaman NRC tentang landskap serantau.
"NRC merakamkan ucapan terima kasih di atas layanan luar biasa yang diberikan oleh SAF dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar termasuk perkongsian ilmu yang diberikan oleh semua pihak terlibat," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!