Fahmi persoal keberadaan pemimpin Pas di Kangar, bukan di Kuala Kubu Baharu

Iklan
Fahmi (depan, kanan) membuat simbol 'mini love' bersama penerima Watikah Komuniti MADANI pada program Jiwa Madani di Kampung Seberang Ramai pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA PERLIS - Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil pada Sabtu membangkitkan persoalan mengenai keberadaan pemimpin-pemimpin utama Pas di Perlis berbanding di Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Fahmi berkata, perkara itu dilihat agak 'menarik', namun beliau sendiri tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh pemimpin Pas untuk tidak berada di Kuala Kubu Baharu khususnya pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu hari ini.

Iklan
Iklan

"Saya lihat pimpinan utama Pas semua berada di Perlis sekali dengan saya.

"Saya tak pastilah apa maksudnya bila mereka tidak ada bersama di Kuala Kubu Baharu dan apapun, saya sendiri telah hadir baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini.

Iklan

Terdahulu, Fahmi yang dalam lawatan kerja tiga hari ke Perlis, menghadiri Program Jiwa MADANI di Kampung Seberang Ramai di sini.

Difahamkan, Pas menganjurkan majlis sambutan rumah terbuka peringkat pusat parti itu di Dewan 2020, Kangar dekat sini hari ini dari jam 11 pagi hingga 2 petang.

Iklan

Antara yang hadir pada program itu ialah Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin; Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden,Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung,Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Besar Kedah,Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis,Mohd Shukri Ramli.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata, calon Kerajaan Perpaduan iaitu Pang Sock Tao dilihat memiliki peluang cerah untuk memenangi PRK itu.

PRK itu menyaksikan Pang daripada DAP akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!