Penduduk kawasan pedalaman Kimanis tolak BN, kata Mahfuz

Iklan
Mahfuz (kanan) meninjau keadaan sawah padi yang kering di Mukim Derang hari ini.

POKOK SENA - Penduduk di kawasan pedalaman Kimanis dilihat sudah tidak dapat menerima lagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana gagal membela nasib mereka selepas diberikan peluang memerintah selama lebih 30 tahun.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, selama seminggu turun berkempen membantu calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang, beliau mendapati rata-rata penduduk merungut dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemimpin UMNO sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau percaya peluang buat calon Warisan untuk merampas kawasan tersebut daripada BN sangat tinggi.

"Sampai tahap mereka merungut kepada saya. Mereka (BN) sudah jadi kerajaan selama 30 tahun tapi tidak dapat buat apa-apa yang lebih baik.

Iklan

"Saya pun hairan bagaimana ahli Parlimen yang dapat peruntukan RM7 juta hingga RM8 juta tetapi tidak dapat membuat sesuatu untuk masyarakat dan rakyat di sana," katanya kepada media selepas diminta mengulas peluang PH di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada Sabtu ini.

Terdahulu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mengadakan dialog bersama pesawah dan meninjau kawasan sawah yang kering di Kampung Derang dekat sini hari ini.

Iklan

Mahfuz berkata, elemen perpaduan ummah sudah wujud di Sabah dan masyarakat di sana tidak memerlukan lagi pendekatan seperti Muafakat Nasional yang dibawa oleh UMNO dan Pas.

Katanya, kedua-dua parti itu tidak sesuai di Sabah kerana membawa elemen perkauman, rasis dan keagamaan yang sempit kerana penduduk di sana tidak ada masalah di antara agama.

"Apa yang dibawa oleh Muafakat Nasional ini bukan perpaduan ummah tapi bawa keretakan hubungan antara kaum dalam masyarakat kita sampai bawa fitnah dalam masjid dan sebagainya," katanya.

Sabtu ini, PRK Parlimen Kimanis memperlihatkan pertembungan satu lawan satu antara Karim dan calon BN, Datuk Mohamad Alamin.