Perkasa program pembangunan bakat - Khairy

Iklan
Khairy. Foto Bernama

MALAYSIA perlu mempergiatkan usaha memperkasa sistem pembangunan bakat muda bagi mengembalikan semula reputasi bola sepak negara di pentas antarabangsa.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, biarpun prestasi pasukan kebangsaan mempamerkan peningkatan, namun aksi skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara di pentas Piala Asia B-23 2024 di Qatar amat mengecewakan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, meskipun terdapat pemain naturalisasi yang membantu kepada peningkatan prestasi skuad Harimau Malaya, namun pembangunan untuk pemain tempatan tidak boleh dilupakan.

"Kalau kita tengok secara jujur dan adil, prestasi pasukan kebangsaan sejak beberapa tahun lalu agak meningkat. Walaupun mungkin pengalaman lepas tak berjaya, tetapi kita lihat secara purata ranking kita naik.

Iklan

"Kita menang perlawanan yang mungkin sebelum ini susah untuk kita menang, ada kejayaan disebalik program naturalisasi. Namun, kita juga kena beri tumpuan kepada pembangunan pasukan atau pemain tempatan.

"Program naturalisasi ada juga kejayaannya, tetapi kita jangan lupa kepada pembangunan untuk pemain tempatan. Pasukan B-23 agak kecewa baru-baru ini, jadi kena perbetulkan semula dimanakah silapnya," katanya.

Iklan

Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan turut kagum dengan pretasi yang diperagakan oleh skuad muda Indonesia apabila mara ke saingan separuh akhir kejohanan tersebut selepas menyingkirkan Korea Selatan menerusi sepakan penalti.

"Kalau kita tengok kejayaan Indonesia, sangat ketara sekali. Namun, saya fikir (pemain muda) kita ada harapan yang bagus, cuma kita nak kena ada pengurusan yang boleh membawa visi dan melaksanakan visi itu," katanya.

Sebagai rekod, skuad B-23 negara yang dibimbing Juan Torres Garrido tersingkir awal dari saingan Piala Asia B-23 selepas tewas semua perlawanan peringkat Kumpulan D termasuk tunduk 0-2 kepada Uzbekistan, Vietnam (0-2) dan Kuwait (1-2).

Berdasarkan kepada semua perlawanan kumpulan D yang diharungi Malaysia menyaksikan skuad muda negara hanya menjaringkan satu gol dengan dibolosi enam gol.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!