BAGHDAD - Pihak berkuasa Iraq sedang menyiasat pembunuhan seorang bintang TikTok ternama negara itu yang ditembak oleh penunggang motosikal bersenjata di hadapan rumahnya di tengah Baghdad.
Juga dikenali sebagai seorang pempengaruh, Ghufran Sawadi atau lebih dikenali sebagai Umm Fahad, ditembak mati di luar rumahnya di ibu kota Iraq itu, pada Jumaat malam, lapor media antarabangsa.
Seorang pegawai keselamatan yang enggan namanya disiarkan berkata, penyerang itu melepaskan tembakan ke arah Umm Fahad selepas mangsa meletakkan kereta Cadillac yang dipandunya di hadapan rumah.
Sejurus melepaskan tembakan, suspek merampas telefon bimbit Umm Fahad dan segera melarikan diri dari tempat kejadian.
Seorang jiran Umm Fahad yang dikenali sebagai Abu Adam berkata, dia bergegas keluar dari rumah selepas mendengar dua das tembakan dilepaskan dan melihat pintu kereta terbuka dan mangsa terbaring.
"Wanita yang bersamanya (dalam kereta) melarikan diri dan pasukan keselamatan segera datang dan menutup seluruh kawasan serta mengambil mayat mangsa dan menunda keretanya,” katanya.
Susulan kejadian itu, Menteri Dalam Negeri Iraq mengumumkan penubuhan jawatankuasa siasatan khas untuk menjejaki pembunuh yang tidak dikenali itu.
Umm Fahad meraih populariti di platform media sosial TikTok melalui perkongsian video dia menari mengikut muzik pop dengan pakaian yang sesuai.
Sebelum ini, penyiaran video sedemikian dianggap tidak sesuai oleh badan kehakiman Iraq.
Dia juga pernah dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana"jenayah menghasilkan dan menerbitkan beberapa filem dan video yang mengandungi bahasa lucah dan tidak senonoh, melanggar kesopanan dan moral awam," kata kenyataan badan kehakiman Iraq.
Kejadian yang menimpa Umm Fahad bukanlah baharu kerana sebelum ini, personaliti media sosial Iraq yang lain juga telah menjadi sasaran serangan maut.
Pada September 2023, seorang personaliti TikTok Iraq yang popular, Noor Alsaffar atau lebih dikenali sebagai Noor BM, seorang transgender juga ditembak mati di Baghdad.
Noor Alsaffar yang mempunyai lebih 370,000 pengikut di Instagram dan TikTok pula memilih berkongsi hantaran video pendek mengenai fesyen, rambut dan solekan serta sering menari mengikut alunan muzik.
Pembunuhan Noor Alsaffar terjadi ketika Iraq bertindak keras terhadap gerakan lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) dan menjadikannya sebagai jenayah dalam undang-undang negara itu. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!