SERDANG - Kesatuan Kakitangan Am Universiti Putra Malaysia (Kepertama) mendakwa proses pemilihan kesemua 41 jawatankuasa tertinggi Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) baharu yang dipilih ketika Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 tahun lalu meragukan.
Presiden Kepertama, Mohd Razali Singah berkata, pihaknya mendapati wujud isu dan situasi yang mencurigakan sepanjang konvensyen tersebut berlangsung khususnya berkaitan proses pemilihan Jawatankuasa Tertinggi dan Pegawai Tertinggi Cuepacs.
Menurutnya, isu dan situasi yang mencurigakan itu bukan sekadar berbentuk persepsi tetapi disokong oleh bukti-bukti yang kukuh kerana didapati telah melanggar peraturan dan perlembagaan.
"Kepertama telah mengemukakan bantahan rasmi kepada pihak JHEKS (Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja), Kementerian Sumber Manusia Malaysia berserta dengan dokumen yang jelas membuktikan berlakunya pelanggaran peraturan dan perlembagaan serta penipuan perwakilan sepanjang konvensyen berlangsung.
"Bantahan tersebut dikemukakan setelah perbincangan dibuat bersama beberapa lagi kesatuan yang turut mengakui wujud situasi mencurigakan itu malah laporan polis juga telah dibuat terlebih dahulu di Shah Alam.
"Bagaimanapun kami tidak boleh mendedahkan justifikasi keraguan tersebut kerana ia telah diserahkan kepada pihak JHEKS untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Razali berkata, pihaknya menyerahkan siasatan kepada JHEKS dan menyifatkan proses pemilihan wajar dilakukan semula sekiranya siasatan mendapati aduan yang dikemukakan berasas.
Katanya, isu tersebut dibangkitkan bukan kerana calon-calon dari Kepertama telah tewas bertanding tetapi tindakan lebih serius perlu dibuat demi menjaga integriti Cuepacs itu sendiri.
"Soal menang dan kalah adalah adat pertandingan. Apa yang paling penting bagi Kepertama ialah perjalanan konvensyen dan proses pemilihan perlulah telus dan bebas dari sebarang bentuk penipuan.
"Ini kerana perjuangan Cuepacs yang murni dan suci adalah tidak wajar sama sekali diterajui oleh tangan-tangan yang punyai kepentingan peribadi dan agenda yang kurang sihat.
"Kepertama amat yakin dan percaya dengan siasatan yang dibuat oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan keseriusan pihak JHEKS dalam menangani isu ini," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Kepertama, Noor Mohd Zin Mohd Naim berkata, isu berkenaan telah cuba dibangkitkan ketika proses pemilihan pada 19 Disember tahun lalu namun tidak mendapat perhatian.
"Saya bangkitkan berkenaan dengan peraturan tetapi mereka tidak bagi bersuara. Jadi bila mereka tidak beri bersuara, kita ada keraguan...kenapa pemilihan itu tidak mengikut peraturan, bila kita nak buat pembetulan, dia tak bagi kita bercakap. Jadi kami ambil inisiatif untuk terus buat laporan polis," katanya.
Difahamkan Kepertama telah dipanggil memberi keterangan oleh pihak polis dan salinan aduan rasmi berkenaan isu itu turut dihantar kepada Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.
Sesi pemilihan jawatankuasa Cuepacs sempena Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di Shah Alam pada 17 hingga 19 Disember lalu.
Bekas Setiausaha Agung Cuepacs, Adnan Mat telah dipilih sebagai Presiden bagi penggal 2019-2022.
Adnan memperoleh 676 undi untuk menewaskan pencabarnya, bekas Timbalan Presiden II Cuepacs, Zainal Ismail yang hanya mendapat 381 undi.
Selain Adnan dan Zainal, tiga lagi calon yang turut merebut jawatan Presiden Cuepacs adalah Mohd Razali yang juga Setiausaha Kewangan kongres itu, Presiden Kesatuan Pegawai Hutan Melayu Semenanjung Malaysia (KPHMSM), Ahmad Shuffir Zakaria dan Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Abdul Malik Mohamed Zin.