Cyberjaya - Penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022 pada 1 Jun 2024 ini, akan memberi hak kepada pekerja untuk mengasingkan diri sekiranya mereka berasa tidak selamat di tempat kerja.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, akta itu juga bakal memberi lebih manfaat kepada pekerja kerana lebih banyak peruntukan yang menjaga kebajikan pekerja.
"Akta ini sudah diluluskan pada hujung 2021, ia tertangguh.
"Maka dalam masa 100 hari saya sebagai menteri telah menandatangani warta untuk menguatkuasakan akta ini.
"Antara kebaikan akta ini adalah pekerja berhak untuk mengasingkan diri daripada tempat yang berisiko tinggi.
"Iini selaras dengan Konvensyen 155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2024, yang berlangsung di Universiti Cyberjaya.
Majlis berkenaan menghimpunkan sejumlah 2,500 orang peserta yang terdiri daripada pengamal bidang keselamatan dan kesihatan.
Ia merupakan himpunan terbesar pengamal bidang berkenaan dari seluruh negara, di mana bacaan ikrar integriti yang dilafazkan oleh semua peserta tercatat sebagai perhimpunan terbesar dalam ikrar integriti keselamatan dan kesihatan pekerja oleh Malaysia Book Of Record.
Tambahnya, selain itu akta ini juga memperuntukkan supaya majikan dan pihak berwajib harus menganalisis risiko di tempat kerja.
"Saya selalu menegaskan amalan keselamatan dan kesihatan pekerja haruslah mengejar perubahan zaman.
"Kewajipan di bawah pindaan baru akta ini juga mewajibkan majikan melantik penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerja di mana lima pekerja ke atas perlu ada penyelaras yang menjaga mereka dalam aspek ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, menyentuh berhubung aspek keselamatan mental pekerja, Steven berkata, pihaknya telah melancarkan kempen dalam mewujudkan kesedaran berhubung perkara berkenaan.
"Setakat bulan April, dalam masa dua bulan sahaja kempen itu dijalankan sebanyak 13,000 orang sudah mendaftar dan 4,000 berjaya dilatih sebagai tenaga pelatih.
"Kita berharap usaha ini akan memperkasakan lagi amalan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terutama dalam aspek penjagaan mental,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!