ISTANBUL - Penundaan tarikh yang masih menjadi teka-teki bagi misi pelayaran bantuan kemanusiaan 'Break The Siege: Freedom Flotilla To Gaza 2024' tidak sedikitpun melunturkan semangat delegasi dari Malaysia untuk terus menghulurkan bantuan kepada penduduk di Gaza.
Ketua Delegasi Malaysia ke Gaza, Datuk Seri Dr Kamal Nasaruddin Mustapha berkata, penundaan ini bukanlah satu pengakhiran tetapi sebagai satu permulaan semula kepada peserta untuk kembali dengan lebih bersemangat.
"Delegasi Malaysia umumnya rasa sedih apabila menerima maklumat (penundaan) ini kerana kami semua bersemangat untuk belayar sebagai tanda sokongan kepada perjuangan Palestin.
Walaupun bersemangat tapi kita faham keadaan yang dialami dan tekanan-tekanan dari Israel serta dari negara lain yang memang tidak ingin pelayaran ini berlaku dari awal pun,” katanya ketika ditemui di Istanbul, Turkiye pada Sabtu.
Beliau yang juga Pengerusi Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) berkata, setiap peserta sudah dimaklumkan mengenai risiko yang mungkin dihadapi, namun tidak menjangkakan isu penggunaan bendera Republik Guinea Bissau akan dijadikan alasan oleh rejim Zionis Israel bagi menggagalkan misi ini.
Kamal juga berkata, aspek keselamatan setiap peserta menjadi titik tumpuan utama dalam membuat sebarang keputusan oleh Ahli Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC) sebelum berlayar.
"Pihak penganjur telah lakukan yang terbaik dan memastikan pelayaran dapat dilakukan tetapi penganjur tidak sesekali bersedia untuk menjejaskan keselamatan peserta,” katanya.
Pada Jumaat, Ahli Jawatankuasa Pemandu FFC, Ann Wright telah mengumumkan berita penangguhan pelayaran bantuan kemanusiaan ke satu tarikh yang tidak diketahui dan menasihatkan semua peserta untuk pulang ke negara masing-masing.
Suasana pilu dan sedih menyelubungi suasana dewan di Tugra Hotel pada pertemuan harian antara FFC dan delegasi dari negara lain.
Penarikan semula kebenaran menggunakan bendera negara atau pendaftaran kapal di bawah Republik Guinea Bissau di dua buah kapal iaitu kapal utama Akdeniz ("Mediterranean”) dan sebuah kapal kargo merencatkan pelayaran ini.
Menurut undang-undang, setiap kapal yang memasuki perairan antarabangsa perlu mengibarkan bendera negara sesuatu kapal didaftarkan sepanjang pelayaran.
Delegasi Malaysia dijangka akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada jam 2.45 petang esok.
Terdahulu, 18 warga Malaysia ketika ini menyertai masyarakat awam antarabangsa melakukan pelayaran menaiki flotila untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.
Mereka terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.
Antara pengamal media Malaysia yang menyertai flotila itu ialah penulis yang juga wartawan penyiaran daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof dan jurukamera Bernama TV, Mohammad Nulhakim Jailan.
Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia itu kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April untuk persiapan akhir sempena misi 'Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024' itu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!