Dua remaja antara jemaah haji termuda dari Pahang

Iklan
Irfan Hamdani (tengah) bersama ayah dan ibunya akan berangkat ke Tanah Suci pada 12 Mei depan.

KUANTAN - Dua remaja berusia 16 tahun antara 1,588 jemaah haji termuda yang terpilih menjadi tetamu ALLAH sempena musim Haji Tahun 1445H/2024M.

Remaja terbabit, Irfan Hamdani Mohd Noh dan Muhammad Ilham Abdullah masing-masing menerima tawaran itu berkat kesedaran ibu bapa mereka yang mendaftarkan nama anak sejak kecil.

Iklan
Iklan

Lebih mengujakan buat Irfan Hamdani apabila dia berpeluang mengerjakan ibadah haji bersama-sama ibu bapanya, Mohd Noh Abidin, 52 dan Norlela Samat serta ibu saudaranya pada 12 Mei depan.

Muhammah Ilham (tengah) bersama ibu bapanya akan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.

Begitu juga dengan, Muhammah Ilham yang berpeluang melaksanakan rukun Islam kelima itu dengan ayahnya, Shaharudin Mohd Amin dan ibunya, Haniza omar yang masing-masing berusia 52 tahun itu.

Iklan

Irfan Hamdani menzahirkan rasa gembira kerana diizinkan ALLAH untuk menjalankan ibadah bersama keluarga pada usia muda.

"Rasa gembira sebab dapat pergi ke Makkah, siapa tidak teruja dapat pergi ke sana. (Sebelum) ini, saya pernah pergi umrah pada tahun 2019, jadi sudah tahu cara hendak tawaf, saie dan selebihnya saya belajar melalui kursus haji," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji dan Penyampaian Barakah Haji Pahang 2024 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dekat sini pada Ahad.

Iklan

Dia yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, Bentong memaklumkan, guru dan rakan sekolah turut meminta mendoakan agar mereka juga berpeluang untuk menjadi tetamu ALLAH.

Menurutnya, perkara yang dia tidak dapat dilupakan apabila ada segelintir rakan sekolahnya sudah memanggil gelaran 'Haji'.

"Ada yang dah panggil saya 'Haji', tapi saya belum lagi ke sana. (Mereka) minta doakan untuk mereka juga," katanya yang merupakan anak tunggal.

Sementara itu, Muhammah Ilham yang bersekolah SMK Bukit Mendi, Triang, Bera turut meluahkan rasa teruja kerana terpilih mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.

"Alhamdulillah, bersyukur kerana dapat menjadi tetamu ALLAH tahun ini bersama keluarga serta jemaah haji yang lain," katanya ringkas.

Sebelum itu, mereka antara 1,588 jemaah haji yang menerima 'duit poket' sebanyak RM750 seorang daripada kerajaan Pahang melalui Barakah Haji Pahang sebagai bantuan untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu tahun ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!