KIMANIS - Kerajaan tidak akan membenarkan pemegang Pas Sementara Sabah (PSS) untuk sewenang-wenangnya bergerak keluar dari negeri ini, termasuk ke Semenanjung kecuali mendapat kelulusan daripada Pengarah Jabatan Imigresen Sabah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, peraturan mengehadkan pergerakan pemegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang akan bertukar kepada PSS pada Jun hadapan, sudah lama dikuatkuasakan di negeri ini.
Beliau berkata, kelulusan memasuki semenanjung itu tertakluk atas sebab dan perkara tertentu, misalnya pemegang kad PSS berkenaan memerlukan rawatan perubatan.
"Tanpa PSS, dasar pergerakan pemegang dokumen IMM13, Sijil Banci mahupun Kad Burung-Burung untuk ke Semenanjung Malaysia adalah sama seperti yang digubal dan dilaksana kerajaan terdahulu di Sabah," katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan membangkitkan bahawa kerajaan Persekutuan sepatutnya membenarkan pemegang PSS untuk ke Semenanjung Malaysia jika kerajaan Sabah betul mahu melaksanakannya.
Abdul Rahman berkata, tindakan kerajaan mengehadkan pergerakan pemegang PSS di Sabah sebagai bukti ia tidak selamat.
Pada September tahun lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan itu berkata, pengeluaran PSS adalah bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.
Mengulas lanjut Mohd Azis berkata, pada masa ini, pemegang IMM13 hanya dibenarkan ke Semenanjung selepas mendapat kelulusan Pengarah Jabatan Imigresen Sabah dengan masa perjalanan selama 30 hari sahaja dan perlu kembali ke Sabah dalam tempoh itu.
Bagi pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci pula, beliau yang juga Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, mereka langsung tidak dibenarkan ke Semenanjung.
Menurutnya, cadangan untuk mengeluarkan PSS adalah kerana kerajaan Sabah pada hari ini komited untuk menyelesaikan masalah isu pendatang asing di negeri itu.
"(Sebab itu) kad sahaja kita ubah kepada (PSS) dengan ciri yang lebih selamat, sekali gus memansuhkan secara total (keseluruhan) penggunaan dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang tidak ada elemen keselamatan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azis menempelak kenyataan Abdul Rahman berkaitan tindakan kerajaan mengehadkan pergerakan pemegang PSS di Sabah adalah bukti ia tidak selamat, sambil mempersoal sama ada pemimpin UMNO itu rela jika pelarian Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dari Semenanjung dibenarkan memasuki Sabah.
"Soalan saya kepada Rahman Dahlan, bagaimana pula jika Rohingya juga dibenarkan bergerak ke Sabah? Tanya dia setuju atau tidak? Tanpa PSS, pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci ini dasar pergerakan mereka telah diputus sejak dulu sebab itu dasar ini tidak ubah," katanya. - Bernama