KONTINJEN Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 terus diperkuat dengan empat lagi atlet berjaya mengesahkan slot ke temasya terbesar dunia itu minggu ini, menjadikan sejumlah 10 atlet layak setakat ini.
Jumlah atlet negara ke Olimpik dijangka terus meningkat dalam beberapa minggu ini dengan lapan pemain badminton dijangka mengesahkan slot ke Paris 2024 selepas ranking kelayakan bagi sukan itu menutup tirai sejurus tamatnya kejohanan Finnish International 2024, hari ini.
Pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita) berada pada kedudukan meraih tiket ke Olimpik, namun perlu menunggu pengesahan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada 1 Mei ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, kontinjen negara juga masih berpeluang meraih kelayakan menerusi sukan olahraga, renang, ping pong, memanah dan golf yang dijangka diketahui beberapa minggu lagi.
"MSN harap semua atlet beri tumpuan penuh dan prestasi sebaik mungkin untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik. Sukan-sukan tersebut masih berpeluang melayakkan diri kerana proses kelayakan masih berlangsung.
"Terjun juga mempunyai satu lagi peluang melalui kuota yang tidak digunakan untuk diberi slot ke Olimpik (sekiranya ada negara tidak menggunakan kuota mereka),” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sedang memantau persiapan dan prestasi semua atlet yang telah layak dan berpotensi untuk layak.
"Kita jangka mengetahui senarai penuh bagi Paris menjelang awal Jun menerusi persekutuan antarabangsa sukan-sukan terlibat.
"Kita sentiasa berhubung dengan atlet terlibat berkaitan status dan prestasi mereka. Sokongan juga diberi menerusi Kementerian Belia dan Sukan sejak tahun lepas, tak kira atlet berkenaan berada dalam program Road to Gold (RTG) atau tidak,” katanya.
Pada Selasa lepas, Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) mengesahkan tiga atlet berbasikal trek negara - Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, layak bagi acara pecut dan keirin.
Kontinjen negara menerima satu lagi berita memberangsangkan pada Jumaat apabila pelayar Khairulnizam Mohd Afendy layak ke Olimpik buat kali keempat berturut-turut selepas menduduki tempat ketiga dalam acara ILCA 7 lelaki (Single-Handed Dinghy) di kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis.
Mereka mengiringi Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Bertrand Rhodict Lises (terjun) yang terlebih dahulu melayakkan diri ke Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Sementara itu, kemarau bagi dua sukan berpasukan popular masih berpanjangan apabila skuad Harimau Muda gagal melayakkan diri bagi acara bola sepak lelaki selepas gagal meraih sebarang mata bagi aksi peringkat Kumpulan D, Piala Asia Bawah-23 tahun di Qatar.
Dengan hanya dua pasukan teratas akan mara ke suku akhir, skuad kendalian Juan Torres Garrido tewas 0-2 masing-masing kepada Uzbekistan pada 17 April dan Vietnam (20 April), selain kalah 1-2 kepada Kuwait (23 April) untuk pulang dengan tangan kosong.
Pasukan bola sepak Malaysia hanya pernah layak ke Olimpik sebanyak dua kali iaitu pada edisi Munich 1972 dan Moscow 1980, namun tidak menyertai Olimpik Moscow kerana boikot yang diketuai Amerika Syarikat.
Pasukan hoki lelaki pula gagal menamatkan kemarau 24 tahun ke Olimpik sejak kali terakhir beraksi di edisi 2000 Sydney selepas skuad Speedy Tigers mengakhiri kempen kelayakan di Oman pada kedudukan tercorot peringkat kumpulan awal tahun ini, manakala gagal melepasi peringkat kumpulan pada Sukan Asia Hangzhou, tahun lepas. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!