Pesakit buah pinggang tahap lima capai cita-cita bergelar doktor

Iklan
Mohamad Zulkifli ketika menjalani sesi hemodialisis.

SHAH ALAM - Seorang pesakit buah pinggang tahap lima yang kini bergelar doktor tidak jemu berkongsi kisah hidup menerusi video di media sosial bagi memberi inspirasi kepada orang lain.

Mohamad Zulkifli Ayub, 27, berkata, pada mulanya sukar untuk dia menerima kenyataan namun sokongan keluarga terutama ibu membuatkannya kuat menghadapi ujian hidup itu.

Iklan
Iklan

"Saya pernah rasa putus asa kerana fikir cita-cita untuk menjadi seorang doktor akan terkubur namun berkat doa serta sokongan daripada orang sekeliling membuatkan saya jadi insan yang kuat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Anak keenam daripada tujuh adik beradik itu memberitahu, dia perlu menjalani hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu selama empat jam setiap sesi.

Iklan

Menurutnya, jadual harian padat dengan kuliah menyebabkan dia berada dalam keadaan tergesa-gesa setiap kali ada sesi hemodialisis.

"Ke sana ke sini dengan wayar 'internal jugular catheter' (IJC) di leher.

Iklan

"Habis sahaja kelas saya akan menjalani sesi rawatan tersebut. Mahu melakukan aktiviti harian pun agak terbatas dan perlu berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan kuman," jelasnya.

Tambah Mohamad Zulkifli, hasil kesabaran dan kesungguhan dia akhirnya berjaya menghabiskan pengajian dengan kini bergelar seorang doktor.

"Saya nasihatkan kepada mana-mana individu yang mengalami nasib sama dengan jangan jadikan ujian sebagai penghalang untuk terus melangkah.

"Kini saya masih meneruskan perjuangan sebagai pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan reda dengan ketentuan llahi serta menjalani hidup berbaki," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!