Tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) telah bermula secara rasmi sebaik selesai proses penamaan calon pada Sabtu lalu.
Tempoh berkempen selama 14 hari sehingga 11.59 malam, 10 Mei ini semestinya akan digunakan sebaik mungkin oleh empat calon yang bertanding serta parti yang diwakili mereka untuk memikat hati pengundi.
Bagaimanapun, harus diingatkan tempoh berkempen bukanlah lesen yang ‘menghalalkan’ calon dan penyokong sesebuah parti melakukan perbuatan tercela.
Acap kali terjadi sebelum ini setiap kali berkempen sempena pilihan raya, penceramah sesuka hati mencaci, menghina dan memfitnah calon serta parti daripada lawan.
Tempoh kempen seolah-olah menjadi pesta menghalalkan perbuatan mencaci, menghina dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi rakyat.
Segala perbuatan dan tingkah laku seumpama itu bukan hanya menjatuhkan maruah diri sendiri, malah boleh mengundang sengketa dan permusuhan berpanjangan hingga menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.
Jika amalan memfitnah serta mencaci ini tidak dibendung, perpecahan masyarakat di negara ini boleh menjadi semakin parah dan tidak terkawal serta menimbulkan rasa kebencian penyokong sesebuah parti terhadap penyokong parti lawan.
Setiap parti politik perlu tahu, tempoh kempen diberikan adalah supaya calon-calon dapat meyakinkan pengundi bahawa mereka adalah yang terbaik untuk dipilih.
Kempen yang dilakukan perlu berhemah, sopan dan beradab serta mengikut lunas serta batas yang sepatutnya tanpa melakukan perbuatan yang tercela.
Calon dan penyokong mereka seharusnya berbicara soal dasar dan perancangan yang ingin dilaksana bagi membolehkan rakyat membuat pilihan.
Apa yang patut diperkatakan ialah apa yang mereka ingin lakukan bagi membantu masyarakat di Kuala Kubu Bharu, apa perubahan yang ingin dicapai agar kawasan berkenaan menjadi lebih maju serta pembangunan yang dirancang.
Kempen berhemah sebegini sebenarnya lebih dapat menarik sokongan pengundi berbanding kempen memburukkan parti lawan.
Lebih-lebih lagi rakyat Malaysia sekarang lebih bijak menilai mana yang baik, mana yang buruk.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!