Pengendali bas henti-henti perlu guna sistem bayaran tanpa tunai

Iklan
Anthony menyempurnakan gimik pelancaran Penggunaan Sistem Touch N Go Perak Transit (myBAS) di Terminal Meru Raya di sini hari ini.

IPOH - Semua syarikat pengendali bas henti-henti dikehendaki menggunakan sepenuhnya sistem pembayaran tanpa tunai dalam perkhidmatan mereka.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia antara syarat yang perlu dipatuhi syarikat pengendali bas terutama yang menerima subsidi agar selari dengan usaha kerajaan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan negara.

Iklan
Iklan

"Satu daripada syarat dalam perjanjian antara kerajaan dengan syarikat pengendali bas yang menerima subsidi adalah mereka perlu menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai ini.

"Kita bagi tempoh tetapi tidaklah terlalu panjang dan harap mereka boleh gunakan sistem ini, jika mereka tak laksanakan maka kita akan review (lihat) balik pemberian subsidi kepada syarikat tersebut," katanya pada sidang media selepas melancarkan Penggunaan Sistem Touch N Go Perak Transit (myBAS) di Terminal Meru Raya di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, selain mengurangkan kos operasi dan memudahkan pengguna dalam urusan bayaran, pelaksanaan sistem tanpa tunai itu tidak memerlukan kos yang besar.

Anthony (dua dari kiri) meninjau keadaan myBAS Ipoh.

"Sebenarnya banyak syarikat-syarikat tanpa tunai sedia bekerjasama dengan pihak pengendali bas untuk sama-sama melaksanakan sistem pembayaran ini.

Iklan

"Ianya satu inisiatif yang baik, tambahan pula kerajaan sedang berusaha untuk mentransformasikan ekonomi ke arah ekonomi digital," katanya.

Dalam ucapannya, Anthony berkata, MyBAS Ipoh yang dikendalikan Perak Transit Berhad merupakan myBAS yang pertama di Malaysia menggunakan sistem tanpa tunai.

Katanya, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar tetap akan menikmati tambang separuh harga sepertimana bayaran secara tunai dengan menggunakan Kad Konsesi PT Touch ‘n Go.

"Penumpang boleh menggunakan kad Touch ‘n Go, termasuklah kad pengenalan untuk membuat pembayaran tambang.

"Mereka boleh mendapatkan Kad PT Touch ‘n Go dan Kad Konsesi pada harga RM10 dan RM15 di Stesen Bas Medan Kidd dan Terminal Meru Raya," katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, jumlah penumpang myBAS Ipoh menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak dimulakan Jun 2016 lalu iaitu daripada 86,263 orang pada September 2016 melonjak kepada 161,964 penumpang, Disember tahun lalu.

"Ini menunjukkan peningkatan seramai 75,701 orang bersamaan 88 peratus peningkatan penumpang di antara September 2016 sehingga Disember 2019. Ini suatu rekod yang tentunya boleh dibanggakan," katanya.