Media sosial tidak pernah lekang dengan hidangan kisah-kisah ‘dalam kain’ pasangan selebriti terutama melibatkan isu rumah tangga berantakan akibat kehadiran orang ketiga.
Cerita sebegitu sudah tentu menarik minat pembaca terutama di media sosial untuk mengorek lagi perihal peribadi pasangan tersebut, seterusnya menjadi bahan gosip.
Kadangkala, satu-satu kisah itu akan berjangkit daripada satu pasangan kepada pasangan lain.
Penulis bagaimanapun faham kita tidak berada dalam ‘kasut’ yang sama. Apa pun sebabnya, bagi penulis, isu kehadiran orang ketiga atau lebih sensasi digelar ‘penyondol’ dalam sesebuah rumah tangga sudah semestinya tidak boleh dimaafkan.
Jika sekali dua boleh diterima, tetapi jika sudah berkali-kali, adakah ia boleh dimaafkan?
Dalam hal ini, peranan kerajaan untuk menjaga institusi kekeluargaan diperlukan. Ia merupakan faktor utama ke arah pembentukan dan kemenjadian masyarakat.
Justeru, penulis menyambut baik langkah kerajaan negeri Terengganu melaksanakan hukuman sebat terhadap pesalah syariah di negeri berkenaan.
Pada 19 Februari lalu, seorang buruh binaan menjadi pesalah khalwat pertama di negeri itu yang dijatuhkan hukuman empat sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat dengan seorang wanita berusia 30-an.
Lelaki berusia 42 tahun yang telah mengulangi kesalahan sama buat kali kedua itu turut didenda RM3,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan hukuman denda.
Pada 17 April lalu pula, seorang ibu tunggal di Terengganu menjadi wanita pertama yang dikenakan hukuman enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah kerana berkhalwat bersama lelaki berusia 40-an.
Ibu kepada seorang anak berusia 37 tahun itu turut didenda RM4,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Mahkamah mengambil tindakan tegas ke atas wanita berkenaan dengan menjatuhi hukuman sebatan kerana sebelum ini pernah disabitkan bagi kesalahan di bawah seksyen sama pada 2018 dan telah dikenakan denda.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari lalu, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebat sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara.
Pemerkasaan undang-undang Mahkamah Syariah Terengganu dilaksanakan selepas badan kehakiman itu mengesyorkan empat seksyen baharu di samping 21 pindaan terhadap hukuman sedia ada bagi menambah baik Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
Empat seksyen baharu tersebut melibatkan kesalahan perbomohan dan sihir, hamil atau melahirkan anak luar nikah, perempuan berlagak seperti lelaki dan persediaan melakukan liwat.
Beberapa enakmen telah dikaji dan dibuat penambahbaikan, antaranya dimaksimumkan hukuman berdasarkan peruntukan 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.
Bukan setakat itu, pada 2018, Mahkamah Syariah Terengganu mendapat liputan meluas kerana kali pertama melaksanakan hukuman sebatan di hadapan khalayak ramai terhadap pasangan kekasih songsang yang disaksikan kira-kira 100 orang.
Langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Terengganu boleh dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain dalam memperkasakan undang-undang syariah.
Hukuman yang dilaksanakan itu bukanlah untuk menzalimi pelaku, sebaliknya lebih kepada mendidik dan memberi pengajaran atas kesalahan dilakukan.
Jika sekiranya hukuman denda sebelum ini sudah tidak boleh lagi dijadikan pengajaran, sudah sampai masanya rotan pula digunakan sebagai ‘ubat’ buat pasangan yang gemar berselingkuh.
* Norhaspida Yatim ialah Ketua Biro Sinar Harian Terengganu
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!