SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Leftenan Muda Chan Ming Youn daripada Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) merupakan satu-satunya penuntut berbangsa Cina yang lulus dan berjaya menamatkan latihan selama 12 minggu dalam Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024.
Perkara tersebut dikongsikan di laman Facebook Berita Tentera Darat Malaysia yang memaparkan sembilan pegawai dan 60 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dianugerahkan beret hijau serta pisau komando dalam perbarisan tamat latihan di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang, Melaka pada Ahad.
Pemuda berusia 25 tahun itu berkata, dia didorong oleh rasa minat yang mendalam terhadap dunia ketenteraan dan berazam mahu berbakti untuk negara selepas mula berkhidmat sebagai anggota 515 Askar Wataniah.
"Saya tak ada ilmu pun tentang komando, mula berkhidmat dalam 515 Askar Wataniah dan daripada situ saya pijak ke dalam dunia ketenteraan ini.
"Matlamat saya adalah teruskan berkhidmat, pergi kursus kepakaran dan berharap agar boleh menjadi komando yang berkualiti,” kata penuntut asal Setapak, Kuala Lumpur terbabit.
Upacara penutup berkenaan disempurnakan oleh Panglima Grup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah.
Hadir sama, Ketua Staf Am 21 GGK, Brigadier Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab; Ketua Staf Perkhidmatan 21 GGK, Brigadier Jeneral Syamsyawal Muhamad; Pengarah Gerak Khas, Kolonel Zolkinine Yunus dan Pemangku Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Leftenan Kolonel Valzahmer Errino Mohd Tahir.
Sementara itu, Mejar Jeneral Adi Ridzwan yang juga Pengerusi Gerak Khas memberikan peringatan buat penuntut agar sentiasa menjaga keagungan beret hijau sebagai sebuah imej ‘Special Forces Operators’ profesional dan kompeten.
Tambah beliau, ia kerana pemberian tersebut merupakan maruah dan kebanggaan Gerak Khas.
"Jagalah maruah beret hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan sia-sia kerana kelak akan merugikan segala pengorbanan semua yang telah bertungkus-lumus mendapatkannya.
"Amat malang sekali jika beret hijau yang dipakai terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan salah laku seperti tidak mematuhi arahan atau melakukan perbuatan bertentangan dengan peraturan perkhidmatan,” ujarnya.
Contohi semangat Ming Youn
KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu Ming Youn dijadikan sebagai contoh yang perlu diikuti untuk berjaya.
Beliau menyifatkan Ming Youn mempunyai jiwa dan semangat untuk menjaga kedaulatan negara.
"Tahniah Leftenan Muda Chan Ming Youn, pegawai dan anggota lain yang berjaya menamatkan latihan kursus asas komando ini.
"Contoh anak-anak muda yang punya jiwa dan semangat menjaga tanah air ini,” katanya menerusi X pada Isnin.
Mohamed Khaled turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam melahirkan perajurit muda seperti Ming Youn.
"Terima kasih kalian semua.
"Jangan pernah lelah mencurah bakti demi ibu pertiwi,” katanya.
Ming Youn daripada Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) mendapat perhatian kerana merupakan satu-satunya penuntut berbangsa Cina yang lulus dan berjaya menamatkan latihan selama 12 minggu dalam Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024.
Kisah berkenaan dikongsikan di laman Facebook Berita Tentera Darat Malaysia yang memaparkan sembilan pegawai dan 60 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dianugerahkan beret hijau serta pisau komando dalam perbarisan tamat latihan di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang, Melaka pada Ahad.
Pemuda berusia 25 tahun berasal dari Setapak,Kuala Lumpur amat meminati dunia ketenteraan dan berazam mahu berbakti untuk negara selepas mula berkhidmat sebagai anggota 515 Askar Wataniah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!