PUTRAJAYA - Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur dilancarkan hari ini bagi menangani punca-punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah yang melancarkannya hari ini berkata, pelan itu merangkumi tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program serta tindakan bagi menangani punca-punca itu dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu sehingga 2025.
"Kerajaan sudah mengenal pasti enam punca utama berlakunya perkahwinan bawah umur iaitu kemiskinan, kekurangan atau ketiadaan akses kepada Pendidikan Kesihatan Reproduktif, dan kekurangan akses kepada pendidikan.
"Selain itu, kelonggaran undang-undang yang memperuntukkan permohonan berkahwin di bawah 18 tahun, stigma masyarakat bahawa perkahwinan pilihan terbaik menyelesaikan masalah dan akhir sekali kekurangan penyelarasan data perkahwinan dan penceraian bawah umur,” katanya selepas majlis pelancaran tersebut di sini hari ini.
Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, semua punca itu akan ditangani melalui perubahan dasar, penambahbaikan perundangan dan pelaksanaan program dan aktiviti kesedaran
"Sebanyak 61 buah agensi terlibat sebagai agensi pelaksana bagi program jangka pendek, sederhana dan panjang dan antaranya mengukukuhkan program sokongan sosio-ekonomi dan 'outreach' sedia ada.
"Selain itu, usaha menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan menyediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif diri yang mesra kanak-kanak dan remaja," katanya.
Turut dirancang, tawaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan kemahiran kepada kanak-kanak atau belia yang tercicir daripada pendidikan serta memantapkan data perkahwinan dan perceraian (orang Islam dan bukan Islam) termasuk bawah umur 18 tahun.
Menurutnya, jawatankuasa pemandu yang dianggotai semua agensi pelaksana ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan perkembangan program dan tindakan yang dirancang pelan itu.
"Ia berfungsi sebagai platform untuk agensi pelaksana melaporkan status tindakan, isu dan cabaran serta cadangan penambahbaikan terhadap setiap program atau tindakan yang dilaksanakan yang akan berkuat kuasa dari tempoh pelaksanaan pelan ini sehingga program dan tindakan yang dirancang dalam pelan ini tamat pada 2025," katanya.
Katanya, isu perkahwinan bawah umur perlu ditangani secara holistik dan pelan strategi itu amat diperlukan sementara menunggu perubahan dari aspek perundangan.
"Kita percaya jika punca-punca ini dapat ditangani, maka pada masa akan datang masalah perkahwinan bawah umur dapat dibendung.
"Kanak-kanak terutamanya perempuan akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menempuh alam pendidikan dan mengembangkan potensi diri mereka," katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Sementara itu, Fuziah berkata, Jabatan Kehakiman Syariah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) bagi permohonan perkahwinan bawah umur yang lebih ketat dan mewajibkan permohonan itu didengar di Mahkamah Tinggi Syariah.
"Kita dapati hakim-hakim (Mahkamah Tinggi Syariah) lebih berpengalaman untuk mengendalikan permohonan itu.
"Dalam SOP itu, hakim akan menilai sama ada permohonan itu puncanya kerana kemiskinan atau apakah keadaan kesihatan reproduktif kanak-kanak itu, adakah kanak-kanak itu bersedia terima tanggungjawab dari segi mental age dan emosi mereka," katanya.
Sementara itu, Yeoh berkata, empat peruntukan undang-undang berkaitan perlu dipertimbangkan di bawah pelan itu.
Undang-undang itu adalah Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri-negeri, Seksyen 10 Undang-Undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Penceraian) Akta 1976, Undang-Undang Adat Sabah dan Sarawak serta Hal Ehwal berhubung pentadbiran adat orang asli di bawah Akta Orang Asli 1994. - Bernama