Pendigitalan industri buku bawa impak besar

Iklan
Azman Adnan

CYBERJAYA - Pendigitalan industri buku dijangka membawa impak lebih besar dengan menghasilkan bank data yang lebih signifikan dan tepat.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, (KPM) Azman Adnan berkata, ia sekali gus berupaya membantu kerajaan dan penggiat industri untuk membuat keputusan dan menggubal dasar.

Iklan
Iklan

"Usaha pendigitalan industri buku ini tidak akan sesekali menoktahkan ekosistem penerbitan buku secara fizikal malah berperanan sebagai pelengkap ke arah memajukan serta memartabatkan industri buku negara," katanya menerusi ucapan di majlis pra pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024), di sini pada Isnin.

Ujar beliau, pendigitalan industri buku juga selaras dengan usaha Dasar Pendidikan Digital untuk mewujudkan pembaca baharu dalam kalangan masyarakat agar budaya membaca terus membugar.

Iklan

Azman berkata, merealisasikan hasrat untuk mereformasikan industri buku negara, semua pihak termasuklah penulis, penerbit dan para ilmuan perlu bersinergi dalam menghasilkan karya yang berkualiti dan bermutu tinggi.

Malah katanya, apa yang lebih penting adalah karya dihasilkan berupaya menonjolkan kesantunan dan ketinggian buah fikir masyarakat kepada dunia.

Iklan

"Penghasilan karya yang berkualiti merupakan asas yang penting dalam menarik minat masyarakat untuk membudayakan amalan membaca sekali gus berupaya meningkatkan kuasa beli pengguna terhadap industri buku yang bakal menyumbang kepada kemampanan ekonomi negara," kata beliau.

Dalam pada itu, Azman turut menyeru masyarakat agar bersama-sama berganding bahu menerapkan amalan membaca ke arah peningkatan budaya ilmu, pembangunan karamah insaniah dan pembinaan masyarakat bertamadun.

PBAKL 2024 edisi ke-41 yang diadakan pada 24 Mei hingga 2 Jun ini menghimpunkan 241 pempamer dari dalam dan luar negara dengan melibatkan 972 buah reruai.

Dijangkakan 1.5 juta pengunjung hadir sepanjang PBAKL 2024 berlangsung.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!