Lokasi tersorok, perniagaan tidak mendapat sambutan

Iklan
Antara penjaja yang masih bertahan di tapak penjaja Bandar Utama Batang Kali berhampiran pusat komersial JRD di sini. (Gambar kecil dari kiri: Samsul Bahari, Nur Emyza, dan Hamidon)

HULU SELANGOR - Hanya 20 daripada 150 peniaga di tapak penjaja Bandar Utama Batang Kali berhampiran pusat komersial JRD, di sini masih bertahan walaupun kurang mendapat sambutan pengunjung.

Peniaga mendakwa lokasinya tersorok dan tidak strategik, selain kebanyakan unit di pusat komersial JRD masih kosong dan tiada penyewa.

Tapak penjaja Bandar Utama Batang Kali berhampiran pusat komersial JRD di sini luas namun lengang.

Iklan
Iklan

Peniaga, Samsul Bahari Kamalun Arifin, 55, berkata, walaupun telah beroperasi lebih dua tahun namun kewujudan tapak penjaja itu gagal menarik minat pengunjung untuk ke sana.

Menurut Samsul Bahari, pendapatan harian sebagai penjual air 'coconut shake' merudum teruk daripada RM700 kepada RM100 susulan pemindahan penjaja ke tapak tersebut.

Iklan

Ujarnya, penjaja telah dipindahkan sebanyak tiga kali dalam tempoh itu dari Jalan Meranti 1 ke Dewan Dato' Abdul Hamid sebelum dikumpulkan ke lokasi berkenaan untuk penyusunan semula penjaja tepi jalan.

"Sampai bila mahu bertahan, sekarang sudah lebih dua tahun beroperasi di sini namun keadaan masih sama lengang dan tiada sambutan.

Iklan

"Kami peniaga harian, kalau boleh mohon dipindahkan semula ke tapak lama di Jalan Meranti 1 kerana lokasi tumpuan dan berdekatan rumah penduduk," katanya kepada Sinar Harian.

Lokasi tapak penjaja terletak belakang premis tersorok dan tidak mendapat sambutan pengunjung.

Samsul Bahari berkata, kebanyakan peniaga sudah angkat kaki susulan perniagaan kurang mendapat sambutan namun dia dan isteri masih bertahan disebabkan tiada pilihan.

"Tak boleh nak buat apa-apa, kalau berniaga di luar berdepan tindakan penguatkuasaan menyebabkan kami masih bertahan di sini.

"Saya harap, sesiapa calon yang menang di PRK Kuala Kubu Baharu nanti dapat membantu peniaga seperti kami menambah pendapatan harian," katanya.

Seorang peniaga pisang goreng, Nur Emyza Samsudin, 31, berkata, peniaga berharap Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dapat meningkatkan aspek promosi tapak penjaja itu kepada orang awam.

"Apabila Sabtu, Ahad atau diadakan program baru ramai pengunjung tapi kalau hari-hari biasa memang tak ada orang.

"Kami minta MPHS perluaskan lagi promosi, pasang papan tanda di tepi jalan supaya orang senang nampak dan kalau boleh buat pintu gerbang untuk menarik pengunjung," katanya.

Ujarnya, semua tapak di sana sudah ada peniaga namun mereka tidak mahu berniaga disebabkan tidak mendapat sambutan dan tiada tarikan.

"Kawasan ini luas dan lapang, tapi jauh daripada penempatan. Apabila malam kawasan ini gelap dan suram jadi perlu juga perbanyakkan lampu. Mungkin selepas jalan Genting dibuka nanti, barulah ramai yang singgah," katanya.

Seorang lagi peniaga, Hamidon Ramli, 73, berkata, sambutan yang kurang menyebabkannya berniaga antara jam 2 hingga 7 petang setiap hari.

Dia berharap, MPHS dapat menyediakan kemudahan tandas dan surau bagi kemudahan peniaga dan pengunjung.

"Selain tapak penjaja harian, lokasi ini turut digunakan sebagai tapak pasar pagi dan pasar karat secara berkala.

"Memandangkan lokasi ini telah dijadikan tapak niaga, memang ada keperluan tambah baik kemudahan bagi keselesaan pengunjung dan peniaga," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!