BERITA kecurian kenderaan bukan satu perkara asing di Malaysia. Boleh dikatakan hampir setiap hari, jenayah berkenaan terpampang di dada akhbar dan menerusi media sosial.
Kes sebegitu sudah pastinya memberi impak besar kepada mangsa. Terdapat kes yang mana kenderaan mereka rosak teruk gara-gara 'dimusnahkan' si penjenayah yang mahu merompak isi barangan berharga yang disimpan mangsa.
Lebih memilukan apabila kenderaan kesayangan 'ghaib' terus atau hilang tanpa jejak. Sememangnya, perompak zaman sekarang terlalu 'cerdik' dalam menyusun strategi jahat.
Menjawab soalan mengapa kenderaan mahal mahupun berjenama murah tetap menjadi sasaran penjenayah, sangat mudah. Sudah pastinya, komponen, alat ganti termasuk aksesori tertentu dijual kepada pihak ketiga pada harga yang sangat tinggi.
Malaysia sangat malang apabila berada pada kedudukan ketiga terburuk di ASEAN dalam kes tuntutan insurans kenderaan di belakang Thailand dan Vietnam seperti direkodkan Persatuan Insurans Am Malaysia pada tahun 2018.
Bagi memastikan pengguna kenderaan di negara ini lebih berwaspada, pada minggu ini, Sinar Turbo akan berkongsi taktik dan teknik penjenayah mencuri kenderaan supaya kita sentiasa berjaga-jaga.
Sebenarnya masih banyak lagi kaedah lain yang dipraktikkan, namun perkongsiaan pada kali ini menjurus kepada trend jenayah semasa.
1. Nombor pendaftaran kenderaan dicabut
Taktik yang mana penjenayah akan mencabut nombor pendaftaran kenderaan sama ada di hadapan atau di belakang.
Tatkala mangsa mula memandu, si pelaku akan mengekori lalu memotong kenderaan sambil menunjukkan nombor pendaftaran kereta yang tercabut. Hal itu dilakukan dengan harapan mangsa berhenti.
Ketika itulah, mereka akan buat 'kerja' dan terus merompak. Mangsa yang cuba melawan, barangkali akan dicederakan. Berdasarkan rekod, ramai pemandu wanita yang menjadi 'korban' kepada taktik berkenaan.
2. Geng topeng
Geng bertopeng selalunya akan meletakkan kenderaan berdekatan dengan kenderaan mangsa.
Penjenayah dengan pantas akan menghampiri dan mengugut mangsa dengan kekerasan seperti dengan tutur kata yang menakutkan atau dengan mengeluarkan senjata dengan harapan kunci kereta diserahkan kepadanya.
Apa lagi, barang-barang berharga seperti komputer riba atau wang menjadi sasaran. Selepas merompak, penjenayah dengan pantas akan meninggalkan lokasi.
4. Pecah dan lari
Strategi kotor penjenayah yang biasa dilakukan di lampu isyarat jalan.
Modus operandi penjenayah akan menjurus kepada perlakuan memecahkan tingkap kenderaan sebelah pemandu. Seperti biasa, sasarannya ialah wanita.
Tabiat golongan Hawa yang gemar meletak beg tangan atau beg komputer riba secara terbuka telah merangsang perompak untuk melakukan jenayah.
5. Menyelinap dari pintu belakang kereta
Kekerapan berlaku kepada pemandu yang memandu bersendirian.
Penjenayah akan menyelinap menerusi pintu belakang kereta mangsa sebaik sahaja kenderaan diparkir.
Mangsa biasanya menyangka kereta mereka telah berkunci, namun hakikatnya, mungkin tidak perasan bahawa terdapat satu pintu masih terbuka di bahagian belakang.
Ketika meninggalkan kenderaan, pada masa itulah penjenayah akan melakukan kerja merompak atau melarikan terus kenderaan.
Selain itu, terdapat strategi 'busuk' penjenayah apabila mereka menyamar menjadi wakil daripada pihak bank.
Dengan nada mengugut, mereka akan merampas kenderaan mangsa.
Sengaja cetuskan perlanggaranTaktik kotor yang masih dilakukan. Penjenayah dengan sengaja melanggar kenderaan mangsa dan kononnya tercetuslah kemalangan.
Apabila mangsa menghentikan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku, pada saat itulah penjenayah akan mengambil kesempatan merompak ataupun melarikan kenderaan mangsa.
Dalam keadaan terkejut, sudah pasti sesiapa pun tidak mampu berbuat apa-apa. Mahu menjerit pun, sudah terlambat.
Difahamkan, penjahat akan memilih pemandu wanita atau pemandu yang baru mendapat lesen P atau L.