Bukti Israel langgar undang-undang antarabangsa

Iklan
Memo itu menyenaraikan lapan bukti tindakan ketenteraan Israel yang melakukan serangan berulang ke atas infrastruktur orang awam di Gaza. Foto AFP

WASHINGTON - Seorang senator Parti Demokrat dengan lantang mempersoalkan sama ada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menilai dengan tepat jika sekutu kuat mereka, Israel benar-benar mematuhi undang-undang antarabangsa.

Perkara itu disuarakan Chris Van Hollen setelah laporan Reuters mendedahkan beberapa pegawai kanan Jabatan Negara ragu-ragu mengenai 'kredibiliti dan kebolehpercayaan jaminan' rejim Tel Aviv yang menggunakan bekalan senjata disalurkan Washington untuk melancarkan Perang Gaza sejak lebih enam bulan lalu.

Iklan
Iklan

"Beberapa anggota Demokrat telah menggesa Biden supaya mengenakan syarat terhadap bantuan ketenteraan bagi memberi tekanan kepada Israel supaya mengurangkan kematian orang awam di Gaza. Sehingga kini, pentadbiran beliau gagal berbuat apa-apa," tegasnya.

Krisis dalaman itu terbongkar selepas Setiausaha Negara, Antony Blinken dijangka membentangkan laporan tentang 'jaminan Israel' kepada Kongres menjelang 8 Mei ini.

Iklan

Beberapa biro di bawah Jabatan Negara mendapati kenyataan rejim Tel Aviv tentang kempen genosid ke atas Gaza tidak boleh dipercayai.

"Sebahagian komponen berpihak kepada Israel dan ada yang mengambil pendirian berkecuali,” menurut kandungan 'memo dalaman' dikemukakan tujuh biro jabatan itu kepada Blinken pada 24 Mac lalu.

Iklan

Difahamkan, empat biro termasuk Demokrasi Hak Asasi Manusia dan Buruh, Keadilan Jenayah Global serta Pertubuhan Hal Ehwal Antarabangsa menyuarakan kebimbangan tentang pelanggaran undang-undang yang dilakukan rejim Zionis.

Memo itu juga menyenaraikan lapan bukti tindakan ketenteraan Israel yang boleh dipersoalkan undang-undang antarabangsa seperti serangan berulang ke atas lokasi dilindungi dan infrastruktur orang awam serta membunuh kakitangan agensi bantuan dan petugas media pada kadar tidak pernah berlaku sebelum ini.

Laporan tersebut juga mengenal pasti 11 bukti rejim Zionis sengaja menyekat bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza hingga menyebabkan penderitaan dahsyat di enklaf tersebut.

Selain itu, bukti jelas pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh Israel adalah berdasarkan data jumlah kematian yang menunjukkan dua pertiga daripada hampir 32,000 mangsa terkorban ialah orang awam. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!